Saksi ke-18 inkues kes berkenaan hari ini, Ketua Balai di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman,

SHAH ALAM – Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim mengesahkan dirinya telah dipukul dengan objek selepas ditarik keluar dari van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).

Ia berlaku ketika kejadian rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield baru-baru ini.

Menurut saksi ke-18 inkues kes berkenaan hari ini, Ketua Balai di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, Muhammad Adib mengaku dipukul kepadanya pada 12 Disember lalu.

Menurutnya, Muhammad Adib ketika itu menjawab 15 soalannya secara bertulis dengan jawapan pilihan secara objektif.

Dalam soalan pertama, sama ada dipukul, Muhammad Adib menjawab ‘ya’ tetapi tidak menanda jawapan dipukul menggunakan besi atau batu yang disediakan.

Beliau menandakan petak jawapan lain-lain ketika mendakwa dia dipukul menggunakan sesuatu tetapi tidak tahu apa alat yang digunakan perusuh.

Selain 15 soalan itu, Syed Shahril memberitahu mahkamah, beliau juga ada menanyakan dua soalan awal kepada Muhammad Adib semasa melawatnya buat kali pertama di Institut Jantung Negara (IJN) pada 5 Disember 2018.

Menurutnya, beliau bertanyakan kepada rakan sepasukannya itu sama ada dia dipukul dan ditarik dan Muhammad Adib mengiyakan kedua-dua soalan berkenaan.

Dalam pada itu, Syed Shahril juga membacakan semula kesemua 15 soalan yang ditanya dan jawapan Muhammad Adib di mahkamah.

Soalannya pertamanya, adakah perusuh cuba membuka pintu kenderaan semasa kenderaan mengundur dan Muhammad Adib mengangguk sambil menandakan iya dalam ruangan kotak yang disediakan.

Soalan kedua adakah anggota bomba itu cuba menghalang dan menahan pintu dari terbuka juga dijawab ya oleh Muhammad Adib begitu juga soalan ketiga sama ada perusuh berjaya membuka pintu kenderaan EMRS.

Soalan keempat apa perasaan ketika itu, Muhammad Adib menjawab yang dia rasa tertekan pada kotak disediakan.

Muhammad Adib juga mengiyakan kepada soalan kelima adakah dia ditarik keluar dari kenderaan EMRS dan menunjukkan isyarat dia ditarik di bahagian bahu pada soalan keenam Syed Shahril.

Kemudian kepada soalan ketujuh adakah dia terjatuh selepas ditarik, Muhammad Adib tunjuk isyarat dia tidak ingat dan begitu juga jawapannya kepada soalan kelapan sama ada semasa jatuh ditarik dia dipukul.

Muhammad Adib juga mengaku tidak ingat kepada soalan kesembilan sama ada dia sedar dia dipukul.

“Soalan ke-10, adakah mereka (perusuh) pukul dengan alat, dia (Muhammad Adib) tanda ya dan jika guna alat, adakah dia nampak, dia jawab tidak pada soalan ke-11.

“Soalan ke-12, alat apa yang digunakan semasa mereka memukul, Muhammad Adib tanda petak lain-lain selain pilihan jawapan batu, besi,” kata Syed Shahril.

Kepada soalan ke- 13, adakah Adib sedar semula di lokasi atau hospital, Muhammad Adib tanda di hospital dan adakah dia rasa terancam ketika berlaku kejadian dia tanda ya bagi soalan ke-14 itu.

Kepada soalan ke-15 sama ada dia mempertahankan diri, Muhammad Adib jawab dia tidak mengingatinya menggunakan isyarat.

Tambahnya, kesemua soalan dan jawapan itu kemudiannya disemak semula oleh Muhammad Adib dalam keadaan waras.

Sepanjang Muhammad Adib menerima rawatan di IJN, Syed Syahril memaklumkan dapat berjumpa sebanyak tiga kali dengan ‘anak buahnya’ itu.

Menurut beliau, tujuannya mengajukan 15 soalan itu ekoran wujud spekulas mengenai Muhammad Adib selepas kejadian tragis itu.

Beliau kemudiannya menyerahkan dokumen soal jawab dengan Muhammad Adib itu kepada pegawai penyiasat polis.- MalaysiaGazette