SINGAPURA – Harga minyak naik dalam dagangan hari ini selepas laporan penyusutan inventori minyak mentah dan keputusan OPEC untuk mengekalkan pengurangan pengeluaran minyak meskipun menghadapi tekanan daripada Presiden Donald Trump.

Niaga hadapan minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada AS$56.02 seting naik 0.9 peratus berbanding harga penutup.

Sementara itu, niaga hadapan Brent diniagakan pada AS$65.55 setong, meningkat 0.5 peratus berbanding hari terakhir.

Inventori minyak mentah Amerika Syarikat susut sebanyak 4.2 juta tong pada minggu 22 Februari kepada 444.3 juta tong, menurut Institut Petroleum Amerika.

Data rasmi akan didedahkan oleh Pentadbir Maklumat Tenaga Amerika Syarikat selepas 1800 GMT.

Pasaran minyak secara amnya telah menerima sokongan pada tahun ini daripada pengurangan bekalan dari OPEC dan sekutunya, Rusia.

Pada tahun lalu, kartel minyak bersama sekutu-sekutunya bersetuju untuk mengurangkan sebanyak 1.2 juta tong minyak bagi melonjakkan semula harga bahan bakar itu.

Kumpulan itu terus mengekalkan perjanjian pengurangan biarpun ditekan oleh Trump pada minggu ini yang menggesa OPEC menghentikan usaha mengetatkan pasaran secara tidak tulen. – MalaysiaGazette