Datuk Mohd Nizom Sairi

PETALING JAYA- Setakat ini sudah lebih 200,000 pembayar cukai tampil membuat pengakuan dalam Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) sejak ia dilancarkan pada 3 November lalu.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (Operasi Percukaian), Datuk Mohd. Nizom Sairi, kerajaan mensasarkan kira-kira sejuta pembayar cukai tampil untuk melakukan pengisytiharan pendapatan yang tidak dilaporkan bagi tujuan cukai termasuk akaun luar pesisir secara sukarela sebelum 30 Jun ini.

Mereka yang tampil secara sukarela hanya dikenakan dalam tempoh tawaran tersebut hanya dikenakan penalti di antara 10 hingga 15 peratus daripada amaun cukai perlu dibayar berbanding kadar penalti asal iaitu 80 peratus sehingga 300 peratus.

“Kita mempunyai kira-kira tujuh juta pembayar cukai aktif dan berdasarkan pengiraan populasi dan sebagainya, kami menjangkakan seramai sejuta pembayar cukai akan tampil mengambil peluang PKPS tetapi sekiranya sehingga tempoh tawaran berakhir 30 Jun ini hanya ada 700,000 atau 800,000 sahaja yang datang ke hadapan, kami terima.

“Apa yang penting, kami menyeru semua yang terlibat untuk mengambil peluang yang datang buat pertama kali dan terakhir ini kerana selepas ini, kami pulang yang datang (mencari) anda,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Seminar Percukaian LHDN-MEF 2019 di sini hari ini.

Dalam pada itu, pembayar cukai yang telah mengambil bahagian dalam PKPS bagi tahun taksiran 2017 dan sebelumnya, LHDN sekali lagi menegaskan, tiada semakan lanjut atau audit akan dijalankan terhadap pengakuan sukarela bagi tahun-tahun berkenaan.

Kerajaan memperkenalkan PKPS semasa pembentangan Bajet 2019 yang lalu bagi menggalakkan semua rakyat yang belum mendaftar atau tidak mengisytihar kesemua pendapatan mereka untuk membuat pengakuan sukarela di LHDN.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai program ini boleh diajukan kepada Hasil Careline di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara) atau e-mel [email protected] atau ke cawangan-cawangan LHDN berhampiran.- MalaysiaGazette