Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berucap pada Majlis Pelancaran Agenda Aiman4Semenyih di Pangsapuri Bandar Rinching, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 26 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Satu projek besar untuk penduduk Semenyih akan diumumkan oleh kerajaan Selangor dalam terdekat.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang menyatakan perkara itu berkata, ia merupakan komitmen kerajaan negeri bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan tersebut.

Bagaimanapun katanya, pengumuman itu tidak boleh dibuat sekarang bagi menjaga etika pilihan raya serta mengelak daripada ia disalah erti.

“Tunggu announcement (pengumuman). Saya tak nak nanti ada orang kata ada kaitan dengan pilihan raya.

“Sepatutnya memang minggu lepas, tetapi kita tak boleh teruskan sebab kita nak jaga etika dan perilaku kita ketika kempen. Ia berkenaan rakyat yang mampu memiliki rumah yang selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pada sidang media selepas pelancaran agenda Aiman4Semenyih di Pangsapuri Bandar Rinching di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, pengumuman tersebut sepatutnya dibuat pada minggu lalu, namun ia ditangguhkan ekoran pertembungan waktu dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Ujarnya, Semenyih tidak pernah terkeluar daripada senarai perancangan pembangunan oleh kerajaan negeri dan langkah menambahbaik kawasan berkenaan sentiasa dilakukan .

Tambah beliau, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan untuk membawa kemudahan bas percuma Smart Selangor ke Semenyih bagi memastikan sistem perhubungan di sini lebih sistematik dan cekap. – MalaysiaGazette