Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Program Malam Kebudayaan Komuniti India sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Bandar Rinching, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 27 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui karya sastera khususnya puisi menjadi teman rapat kepada beliau untuk mengisi kesunyiaan ketika menjadi banduan hampir 11 tahun di Penjara Sungai Buloh.

Anwar berkata, dalam tempoh itu juga beliau memanfaatkan masa di penjara dengan ‘menghadam’ puisi dengan lebih berkesan khasnya karya-karya agung tempatan seperti Datuk A.Samad Said.

“Duduk keseorangan, sunyi sepi di malam hari kadang-kala dengar sekali sekala dari kunci oleh staf penjara. Bunyi bisikan burung-burung berkicauan tetapi kita boleh fokus kepada karya-karya besar.

“Saya terpaksa baca karya politik, falsafah, agama, budaya, sastera tapi dalam keadaan begitu karya sastera dan puisi yang menjadi teman dan mengiringi hidup saya bertahun-tahun.

“Tidak terlepas satu hari di penjara keseluruhannya hampir 11 tahun daripada membaca puisi sama ada karya-karya besar di sini, A. Samad Said, Dinsman, Taufiq Ismail dan Shakespeare,” katanya berucap pada Malam Budayawan Baca Puisi@Semenyih di Club House Taman Pelangi malam tadi.

Anwar berkata, banyak negara maju bukan kerana ekonomi semata-mata bahkan penekanan kepada kepentingan memelihara serta menyuburkan budaya dan sastera.

“Banyak negara mencatat kemajuan dan menekankan soal budaya dan sastera tetapi yang kita cita-citakan untuk negara ini ialah pertumbuhan ekonomi bersama pemerkasaan budaya.

“Sebab itu saya menyarankan anak-anak muda untuk memahami puisi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette