Muhammad Aiman Zainali
Calon Pakatan Harapan PRK N24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali bercakap kepada media ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 27 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali tidak mahu terburu-buru mengumumkan agenda beliau sebelum memahami kehendak rakyat di sini.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakannya itu tidak lewat, malah menyifatkan ia sebagai agenda terbaik untuk rakyat Semenyih seiring dengan prestasi semasa Kerajaan Negeri Selangor.

“Tidak (lewat), ini adalah yang terbaik selepas kita melalui beberapa perbincangan dengan Menteri Besar, Amirudin Shari di mana kita bawa suara rakyat dan kita lihat apa boleh dibuat oleh rakyat.

“Lima agenda ini keluar dan khusus untuk rakyat Semenyih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi rumah pengundi di Bandar Tasik Kesuma, di sini, hari ini.

Muhammad Aiman Zainali
Calon Pakatan Harapan PRK N24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali beramah mesra dengan Said Kamarudin Said Samsudin ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 27 FEBRUARI 2019.

Semalam, Muhammad Aiman mengumumkan lima tekad yang menggambarkan komitmennya untuk membangunkan Semenyih.

Lima tekad itu adalah Semenyih lestari, Semenyih selamat, Semenyih maju, Semenyih sihat dan Semenyih terhubung, yang dilancarkan menjelang empat hari sebelum PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Sabtu ini.

Muhammad Aiman juga berkata, beliau perlu meneliti segala aspek pengundi dari segi permasalahan, pembangunan akan datang dan kebajikan rakyat Semenyih sebelum memperkenalkan lima agenda itu.

Ya, kita meneliti sepanjang tempoh berkempen baru keluar agenda, supaya dapat berikan yang terbaik untuk rakyat Semenyih,” katanya lagi. – MalaysiaGazette