Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid (kanan) melihat laporan kewangan pada sidang media di Wisma FGV, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR- FGV Holdings Bhd. (FGV) optimis mampu meningkatkan prestasi kewangan yang lebih baik bagi tahun kewangan 2019 selepas merekodkan kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM1 bilion pada tahun kewangan 2018 berakhir Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, kerugian yang ditanggung oleh syarikat perladangan sawit terbesar negara itu disumbang terutamanya oleh rosot nilai sebanyak RM966 juta.

Kebanyakan adalah daripada rosot nilai tiga syarikat iaitu Asian Plantation Ltd. (APL), Cambridge Nanosystem Ltd. (CNS) dan Green Energy Sdn. Bhd.

Jelasnya, gabungan rosot nilai ketiga-tiga buah syarikat tersebut melebihi RM700 juta namun beliau yakin perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi pada masa depan.

“Keputusan kewangan suku pertama tahun ini akan memberi cerminan yang lebih jelas kepada kejayaan program pemulihan yang telah dilancarkan pada Oktober 2019.

“Selama lima minggu saya di sini, saya sudah dapat lihat banyak hasil telah diperolehi daripada kerja-kerja pemulihan tersebut dan kami sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki prestasi.

“Saya harap, keputusan kewangan suku pertama nanti, FGV telah bebas daripada isu legasi yang membelenggu syarikat selama ini kerana rosot nilai dalam jumlah sangat besar sudah pun berakhir dan saya tidak fikir isu ini akan timbul lagi.

“Jika tidak, saya tidak akan kerja lagi selepas ini,” katanya sambil bergurau ketika memberi taklimat media prestasi kewangan FGV 2018 berakhir 31 Disember lalu di sini hari ini.

Malah ketika memulakan taklimat media yang merupakan yang pertama olehnya sejak dilantik jawatan tersebut Januari lalu, Haris Fadzilah menyifatkan syarikat tersebut sedang membuka lembaran baharu tahun 2019 dimulakan dengan perpindahan pejabat korporatnya ke Wisma FGV (dahulu Wisma Sime Darby) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

FGV mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan 2018 berakhir 31 Disember lalu berbanding ke keuntungan sebanyak RM403 juta yang direkodkan tempoh sama 2017.

Prestasi buruk itu disumbang terutamanya oleh rosot nilai dan peruntukan berjumlah RM1.038 bilion di samping penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) sepanjang tahun 2018.

Antara inisiatif yang dijalankan untuk menambah baik prestasi kewangan tahun ini adalah melalui mengetatkan kawalan dan mengurangkan kerugian kilang.

FGV menurut Harris Fadzilah sedang memantau kadar penggunaan kilang-kilangnya dan melakukan usaha untuk meningkatkan penyumberan buah tandan segar (BTS) daripada pekebun-pekebun kecil bebas dan pihak ketiga.

FGV katanya, turut merancang untuk menutup dua kilang kecil dan mempunyai kurang kapasiti setahun.

Proses penanaman semula juga berada di landasan yang betul untuk menormalisasikan profil umur pokok sawit menjelang 2019.

Tahun ini, FGV mensasarkan untuk menanam semula sebanyak 15,000 hektar.-MalaysiaGazette