Calon Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali (tengah) menunjukkan kertas undi kepada pengundi cina pada Rawatan Meridian dan Demo Brownies Making sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Balai JKKK Kampung Baru Semenyih, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 28 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Berbaki tidak sampai 48 jam, Muhammad Aiman Zainali berkata, jentera parti kini sudah berada di tahap optimum dalam siri kempen di kawasan itu.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih itu berkata, jentera parti gabungan itu telah memulakan gerak kerja di tahap gear enam bagi memastikan beliau mengekalkan kerusi DUN Semenyih.

“Saya akan terus berkempen seperti biasa dah lebih hebat lagi.

“Kalau ada gear enam pun kita akan buat,” katanya kepada media dalam kempen di Kampung Baru Semenyih pagi tadi.

Beliau ditemani Ketua Wanita PH, Zuraida Kamaruddin dan barisan wanita gabungan itu dengan mendekati masyarakat Cina di kawasan berkenaan.

Tambah Aiman, kesemua 23 Pusat Daerah Mengundi (PDM) kawasan itu telah dikunjungi beliau bersama jentera.

“Saat akhir ini penting kerana rakyat mula nampak apa yang kita nak beri kepada rakyat.

“Hingga 2 Mac nanti rakyat akan terjemahkan dalam kertas undi,” katanya lagi.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali; Zakaria Hanafi (BN); Kuan Chee Heng (Bebas) dan Nik Aziz Afiq Abdul daripada PSM.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH merampas Semenyih daripada BN dengan majoriti 8,964 undi.

Daripada 23 PDM di DUN Semenyih, PH menang 13 manakala BN 10. -MalaysiaGazette