Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris (bersongkok) didakwa dua pertuduhan mengaibkan dan mendatangkan kecederaan terhadap Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Sesyen Kajang.

KAJANG – Pengendali laman blog Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengaibkan dan mendatangkan kecederaan terhadap Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu insiden pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, dua minggu lepas.

Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 36 yang juga Exco Pemuda UMNO membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Muhammad Azri selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut “ko bodoh” bagi maksud mengganggu kesantunannya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian pada 11.05 pagi, 16 Feb lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, OKS didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di leher dan bahu Syed Saddiq pada masa, tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2, 000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya OKS menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah kerana kes berkenaan melibatkan keselamatan Syed Saddiq.

Peguam Nik Saiful Adli Buhari yang mewakili OKS memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya berniaga kecil-kecilan serta menyara lima orang anak yang masih kecil dan isteri yang tidak bekerja.

Peguam itu turut memohon mahkamah menukar syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada melapor diri di balai polis berhampiran.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menetapkan 1 April untuk sebutan kes.

Dalam kejadian 16 Feb lalu, Syed Saddiq yang juga Anggota Parlimen Muar, mendakwa diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang dan Wan Muhammad Azri ditahan polis keesokan hari bagi membantu siasatan kes itu.

Sekumpulan penyokong OKS juga hadir di perkarangan mahkamah itu termasuk Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast