Datuk Satim Diman

SHAH ALAM – Ketua UMNO Bahagian Puchong Datuk Mohamed Satim Diman digesa menarik balik kenyataannya berhubung kematian wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Selangor sebagai amaran daripada Allah supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata kenyataan yang sangat tidak wajar itu telah disampaikan oleh bekas ketua pembangkang Selangor tersebut ketika memberi ceramah umum BN dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih (malam tadi).

“Saya percaya kenyataan yang dangkal itu telah mengguris hati keluarga empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang telah kehilangan insan yang mereka cintai.

“Justeru, saya menggesa Datuk Mohamed Satim Diman untuk menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada anggota keluarga empat wakil rakyat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Borhan, sebagai seorang ahli politik beragama Islam, Mohamed Satim seharusnya memahami konsep qada’ dan qadar yang terkandung di dalam Rukun Iman dan tidak menggunakannya sebagai modal politik sempit ketika kempen pilihan raya.

Mohamed Satim dilaporkan oleh sebuah portal berita sebagai berkata, semua PRK di Selangor iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan kini di Semenyih melibatkan kematian wakil rakyat daripada PH dan bukan daripada BN.

Beliau didakwa berkata Allah telah memberi amaran sejak (PRK) Sungai Kandis lagi supaya rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat itu.

Kesemua PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong dimenangi oleh calon daripada PH.

PRK DUN Semenyih pula bakal diadakan pada Sabtu ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

— BERNAMA