Dr. Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad
GEORGE TOWN – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lebih memberi isyarat kepada Kementerian Kewangan dan bukan Kementerian Kesihatan untuk meluluskan peruntukan bagi pembinaan hospital baharu di Semenyih.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bab untuk meluluskan hospital ini bukan bidang kuasa Menteri Kesihatan sebaliknya di bawah Kementerian Kewangan.

“Tetapi KKM boleh lakukan “planning” sahaja, akhirnya yang menentukan mampukah tidak itu bukan KKM tetapi Menteri Kewangan… kalau sudah bersedia dengan kewangan, saya lebih suka membina sebanyak mungkin fasiliti (hospital) kesihatan.

“Tun lebih mengisyaratkan mungkin MOF perlu memberi peruntukan itu dan saya bersedia membangunkan apa pun fasiliti yang boleh membantu dan mengisi keperluan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan ke-2 AMDI International Oncology & Medical Physics Symposium di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Tun Mahathir sewaktu berucap pada Majlis Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) semalam yang dalam nada gurauan “hendak mengetuk kepala menteri yang tidak meluluskan hospital Semenyih”.

Tun Mahathir berkata permintaan hospital baharu itu harus dipertimbangkan jika calon PH berkenaan menang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Sementara itu, Dr Dzulkefly, yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor, berkata bab pembinaan hospital atau klinik kesihatan itu akan bergantung juga kepada kemampuan kewangan negara.

“Saya punya perancangan ada untuk seluruh negara, maknanya saya kena cermat dan berhati-hati, tambahan pula dengan keadaan kewangan sedemikian. Kalau Tun mengizinkan itu, saya tidak mempunyai masalah untuk membangunkan klinik mahupun hospital, di dalam Semenyih atau kawasan parlimen itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet untuk mendapatkan sokongan daripada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Kita perlu ada kerjasama dan komitmen daripada semua pihak untuk menguruskan perkara itu. Kalau Tun beri isyarat daripada itu, saya rasa kita tiada masalah untuk uruskan dengan baik,” katanya.

— BERNAMA