Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah

KUALA LUMPUR – Tidak ada sebarang pindaan terhadap nombor pengenalan baharu P. Prasana Diksa.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Mohammad Razin Abdullah, pihaknya tidak sesekali akan mengubah rekod individu melainkan permintaan mereka sendiri.

Beliau berkata demikian menjelaskan isu dakwaan pihaknya telah mengeluarkan nombor pengenalan baharu MyKid secara tidak sah kepada Prasana berikutan rekod kanak-kanak tersebut tidak ditemui dalam pangkalan data Kementerian Pelajaran Malaysia seperti dakwaan Kumpulan Indira Gandhi Action Team (INGAT).

“Ingin ditegaskan bahawa JPN merupakan jabatan yang memastikan pengurusan rekod pengenalan diri yang sahih dan terpelihara kepada penduduk Malaysia demi keselamatan serta sebagai agensi rujukan utama rekod penduduk negara.

“Semua maklumat adalah sulit. Tuduhan INGAT yang mencabar integriti jabatan ini secara melulu tanpa bukti yang kukuh dianggap cuba mencemar imej jabatan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohammad Razin, JPN menuntut INGAT memohon maaf atas fitnah yang dibuat dan sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan diambil.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tuduhan NGO nombor MyKid ditukar tak benar