Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Anugerah Guru Inspirasi 2019 di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2019.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan masih belum membuat keputusan mengenai kemungkinan untuk mengaktifkan semula langganan akhbar Utusan Malaysia yang sebelum ini telah diberhentikan sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Menurut menterinya, Dr Maszlee Malik, ia satu perkara yang baik untuk difikirkan semula memandangkan akhbar itu kini tidak lagi dimiliki oleh UMNO.

“Itu perkara yang menarik untuk difikirkan tapi kita belum buat apa-apa keputusan.

“Setelah kita buat keputusan, kita akan maklumkan kepada media,” katanya di Putrajaya hari ini.

Maszlee ditemui media selepas merasmikan Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2019 di kementeriannya, hari ini.

Untuk rekod, langganan akhbar berkenaan dihentikan pada 1 Ogos tahun lalu melibatkan semua bahagian agensi, sekolah, universiti, kolej dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan.

Baru-baru ini UMNO melepaskan 31.6 peratus pegangan sahamnya dalam akhbar itu kepada sebuah syarikat milik penuh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Dalam urusniaga terbabit UMNO telah melepaskan pegangan ke atas 35 juta unit saham Utusan kepada Opulence Asia Sdn Bhd. – MalaysiaGazette