Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, Bandar Rinching Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 MAC 2019

SEMENYIH – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kenyataan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Indhra Gandi Action Team (INGAT) yang mendakwa kononnya nombor MyKid anak guru tadika Indira Gandhi itu ditukar oleh bapanya Muhammad Ridzuan Abdullah atau dahulu dikenali sebagai K. Pathmanathan.

Beliau menyifatkan dakwaan INGAT sebagai kenyataan palsu.

“Pihak Ketua Pengarah (KP) Jabatan Pendaftaran Negara (Datuk Mohamad Razin Abdullah) sudah menyiasat dan mendapati kenyataan itu tidak benar.

“Berikutan hasil siasatan itu saya mengarahkan JPN membuat satu kenyataan jelas untuk tatapan umum,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat dalam perjumpaan bersama Jentera PH secara tertutup di Semenyih hari ini.

Tambah Muhyiddin,  kenyataan itu penting memandangkan tuduhan INGAT  sangat serius.

“Siasatan JPN terbukti tuduhan itu palsu dan tidak benar.

“Saya serahkan kepada KP sama ada dia nak ambil tindakan terhadap INGAT supaya minta maaf kerana faktanya tidak betul,” katanya lagi. – MalaysiaGazette