Warga emas, Yaakob Mat Isin berkerusi roda hadir pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di JKKK Kampung Sesapan Kelubi, Beranang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MAC 2019

SEMENYIH – Seorang warga emas tidak pernah terlepas untuk mengundi di Semenyih sejak mendaftar sebagai pengundi.

Menurut Yaakob Mat Isin, 81, PRK Semenyih yang sedang berlangsung hari ini adalah kali ke-15 beliau menunaikan tanggungjawab sebagai seorang warga negara.

“Den tak ponah ‘miss’ untuk menunaikan tanggungjawab den sebagai pengundi di Somonyih,” katanya selepas selesai mengundi di Dewan JKKK Kampung Sesapan Kelubi, Beranang sebentar tadi.

Sebagai anak jati Semenyih, Yaakob berkata, sudah menjadi keutamaan beliau untuk memilih wakil biarpun dirinya kini sudah berkerusi roda.

“Saya datang anak yang bawa.

“Saya mengundi 15 kali termasuk PRK Semenyih hari ini. Saya mula mengundi tahun 1959 zaman Tunku Abdul Rahman lagi,” katanya lagi.

Yaakob merupakan antara 300 pengundi saluran satu di Dewan JKKK Kampung Sesapan Kelubi yang dijadualkan menunaikan tanggungjawab masing-masing hari ini.

Sejumlah 53,411 pengundi dijangka menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka dalam PRK Semenyih, hari ini.

Jumlah pengundi biasa yang layak mengundi dalam PRK Semenyih ialah 53,520 orang.

Bagaimanapun daripada jumlah itu 109 telah mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi 53,411 orang. -MalaysiaGazette