Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

PERMATANG PAUH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, bukan mudah untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) membaiki sistem berusia 60 tahun yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Katanya, usaha itu akan mengambil masa dan ini ditambah dengan beban hutang negara yang banyak, ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Selama 60 tahun kerajaan tidak pernah tukar. Bila kita ambil alih kita tidak ada dana yang mencukupi. Ini fakta…hutang negara kalau kita tidak membayar kita akan menjadi negara yang bankrap.

“Kita (kerajaan PH) baru lapan bulan, tidak mudah membaiki sistem yang dah lama. Ini bukan excuse (alasan). Kita cuba usahakan dengan mengadakan mesyuarat demi mesyuarat, jawatankuasa demi jawatankuasa macam mana kita nak turunkan kos sara hidup yang kita rasa bebankan rakyat,” katanya ketika berucap pada program Santai Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya Dr Afif Bahardin. – Bernama