Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan sambutan Hari Landskap Negara di Taman Botani, di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PH) tidak bimbang dengan kerjasama UMNO-PAS yang menjadi antara punca kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, semalam.

Perdana Menteri berkata beliau yakin gabungan sebegitu hanya akan berlaku pada PRK yang kemenangannya tidak membawa makna besar.

“Dalam pilihan raya kecil menang kalah tidak penting tetapi dalam pilihan raya umum lain, mereka tidak tidak boleh bekerjasama.

“Kalau mereka bekerjasama PAS tidak akan mendapat apa-apa,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Landskap Negara di Taman Botani, di sini hari ini.

BN merampas kembali kerusi DUN Semenyih pada PRK semalam yang menyaksikan calonnya Zakaria Hanafi mengatasi calon PH Mohammad Aiman Zanali dan dua lagi calon dengan majoriti 1,914 undi.

Mengakui penggunaan isu agama yang keterluan ketika kempen juga antara punca kekalahan PH, Dr Mahathir berkata pihaknya akan segera melakukan ‘post-mortem’ bagi mengenal pasti punca sebenar gabungan itu gagal mempertahankan kerusi DUN Semenyih yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.

Beliau berkata perbezaan majoriti yang diraih juga menunjukkan pengundi Semenyih sudah berubah fikiran akibat persepsi negatif dan provokasi agama tidak perlu yang berlaku sepanjang tempoh berkempen.

“Ada sesetengah pihak yang melakukan provokasi tidak perlu seperti melukis kartun Nabi Muhammad sedangkan perkara sebegini tidak menyumbang ke arah kebaikan negara,” katanya.

Berhubung kegagalan menunaikan janji manifesto yang juga dilihat antara faktor menyumbang kekalahan PH itu, Dr Mahathir berkata kerajaan memerlukan masa yang lebih panjang untuk merealisasikan janji mereka.

Perdana Menteri berkata ketika pihaknya berusaha menunaikan janji pilihan raya, kerajaan juga pada masa yang sama perlu membayar hutang lebih RM1 trilion yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Menjadikan hutang projek Laluan Rel Pantai Timur sebagai contoh, Dr Mahathir berkata kerajaan terpaksa membayar faedah RM200 juta pada setiap enam bulan bagi pinjaman RM55 bilion yang dibuat kerajaan terdahulu untuk melaksanakan projek tersebut.

“Bermakna duit yang kita ada yang sepatutnya diguna untuk membantu rakyat terpaksa digunakan untuk membayar hutang yang ditinggalkan kepada kita,” katanya.

Dr Mahathir juga mempertahankan dakwaan PH terhadap PAS kerana yakin dengan kebenarannya termasuk janji tidak menyokong UMNO di Semenyih serta pembayaran RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Clare Rewcastle-Brown untuk penyelesaian luar mahkamah kes saman membabitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dr Mahathir berkata pihaknya mempunyai bukti jelas berkenaan pembayaran tersebut dan perkara itu tidak boleh disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

Katanya beliau tidak menyalahkan individu (Rameli Musa) yang dikaitkan dengan pembayaran wang oleh Abdul Hadi kepada Rewcastle-Brown namun “marah dengan cara PAS yang berbohong”.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan