Sebahagian pengundi beratur sebelum memasuki pusat mengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di JKKK Kampung Sesapan Kelubi, Beranang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MAC 2019

SEMENYIH  – Walaupun masih menerima sokongan kukuh daripada kebanyakan pengundi Cina, tetapi DAP pada masa yang sama mengakui undi daripada kaum itu kepada Pakatan Harapan (PH) berkurangan antara dua hingga tiga peratus dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih berbanding semasa PIlihan Raya Umum 2018.

China Press melaporkan, terdapat pengundi Cina yang menyokong calon bebas dan juga calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) kerana mahu “melepaskan emosi”.

Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lai Wai Chong berkata, empat daerah mengundi yang mempunyai penduduk Cina yang ramai masih dikuasai Pakatan Harapan pada kadar 57.6 peratus, 68.3 peratus, 70.3 peratus dan 78.9 peratus.

Katanya, statistik yang dikumpulkan menunjukkan Pakatan Harapan tidak kehilangan terlalu banyak undi Cina dalam PRK Semenyih.

“Kami mungkin kehilangan kira-kira dua hingga tiga peratus undi Cina berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14. Sebahagian pengundi Cina mungkin mengundi calon bebas dan PSM.

“Calon bebas iaitu Kuan Chee Heng sebenarnya tidaklah terlalu popular di Semenyih, tetapi masih mendapat lebih 700 undi.

“Pengaruh calon bebas tidak harus dipandang ringan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai itu yang mengetahui kempen DAP di Semenyih.

Hampir 17 peratus pengundi di Semenyih adalah keturunan Cina dan mereka tertumpu di empat daerah mengundi iaitu Kampung Baru Semenyih, Pekan Semenyih, Semenyih Indah dan Kampung Baru Tarun Broga. – MalaysiaGazette