PETALING JAYA – Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Allahyarham Nazrin Hassan dan dua anak tirinya dihadapkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh suami dan bapa tiri mereka pada Jun tahun lalu.

Tertuduh, Samirah Muzaffar, 43, dan dua anak lelakinya itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketiga-ketiga mereka juga berdepan tuduhan di bawah Seksyen 34 kanun sama kerana menyebabkan kecederaan parah kepada bapa tiri kanak-kanak itu dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Samirah yang merupakan bekas Eksekutif Kanan MyPO berada di dalam kandang dan dua anaknya yang hadir memakai baju sekolah berdiri di luar kandang mengaku tanda faham dan kelihatan tenang.

Pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir.

Tiada pengakuan direkodkan dan Mohamad Ikhwan membenarkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Shah Alam serta-merta namun tarikh baharu kes itu belum ditetapkan.

Mengikut pertuduhan, Samirah dan dua anaknya itu bersama seorang lagi yang masih diburu, Eka Wahyu Lestari di antara 11.30 malam 13 Jun hingga 4.00 pagi 14 Jun tahun lalu di rumah mereka bagi memcapai niat bersama untuk melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematiaan kepada Nazrin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin dan Mohamad Zin Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam L S Leonard dan Mahinderjit Singh.

Sementara itu, ketiga-tiga mereka telah ditahan di kediaman mereka pukul 6.45 pagi tadi.

Pada 14 Jun lalu, Nazrin terbunuh dalam kebakaran di rumahnya.

Nazrin dijumpai mati selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat atas rumahnya di Mutiara Damansara dengan kesan melecur 30 peratus di badannya.

Awal bulan lalu, polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan siasatan forensik oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat. – MalaysiaGazette