Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Pergeseran politik antara MCA, MIC dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendapat perhatian Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagi merungkai isu itu, beliau menggesa agar semua pemimpin parti komponen gabungan itu supaya jangan bertindak melulu.

Ujarnya, beliau tidak memandang mudah ketidakpuasan hati pemimpin MCA dan MIC namun persefahaman antara kesemua parti merupakan kunci dalam mengharungi pelbagai cabaran masa mendatang.

“Adalah sangat kritikal untuk semua pihak tidak bertindak melulu atau bersifat pukul rata.

“Khususnya dengan terus mengambil kenyataan seorang dua pemimpin dari mana-mana parti komponen yang tidak pun mewakili pendirian BN sebagai perkara pokok dalam menilai semula status serta masa depan BN,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau mengulas mengenai percakaran antara Mohamed Nazri, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Tan Sri SA Vigneswaran berhubung kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas itu bahawa kaum bukan Melayu tidak boleh mempersoalkan keistimewaan orang Melayu kerana turut menikmati keistimewaan seperti sekolah vernakular.

Justeru itu, Mohamad yang lebih sinonim dengan panggilan Tok Mad berkata kerjasama, persefahaman dan persaudaraan dalam BN menjangkaui kenyataan segelintir kecil pemimpin-pemimpin tertentu.

“Adalah sangat merugikan jika kita semua memilih untuk menjadi tidak adil melihat kelemahan kecil ini sebagai alasan menafikan kelebihan besar yang telah dibangunkan secara telus selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, satu mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara-perkara berbangkit.

“BN akan memaklumkan butir-butirnya dalam sedikit masa lagi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ..yg hadir, UMGOK & Jemputan khas, PAS. Serumpun Sekata Sejiwa. Motto Baru UMGOK/PAS

Comments are closed.