KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz nampaknya tidak terkesan dengan kemungkinan MCA dan MIC akan keluar Barisan Nasional (BN) gara-garanya.
Malah Ahli Parlimen Padang Rengas itu membidas kembali kedua-dua parti itu.
Memetik laporan FMT, Setiausaha Agung BN itu hari ini berkeras mahu kedua-dua komponen parti itu keluar BN sekiranya mahu.
“Dipersilakan keluar. Jangan cakap sahaja,” katanya.
Mohamed Nazri menjawab kenyataan bersama Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran hari ini yang mahu keluar BN ekoran kenyataannya yang dianggap rasis.
Ka Siong dan Vigneswaran menegaskan, akibat kenyataan Nazri hubungan mereka dengan UMNO semakin ‘rosak’.
MCA dan MIC juga tidak pernah mengiktiraf Mohamed Nazri sebagai Setiausaha Agung BN sebelum ini.
Jelasnya lagi, BN tidak kisah semasa 10 parti komponennya meninggalkan gabungan itu sejak kekalahannya pada Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu.
Dan katanya, BN juga tidak kisah sekiranya ianya berlaku kepada MCA dan MIC.
“10 parti itu pergi tanpa banyak cakap. MCA dan MIC hanya cakap kosong,” tambahnya lagi.
Pergeseran politik antara Nazri, MCA dan MIC bermula apabila Mohamed Nazri semasa kempen PRK Semenyih berkata kaum bukan Melayu tidak boleh mempersoalkan keistimewaan orang Melayu kerana turut menikmati keistimewaan seperti sekolah vernakular.
Beliau juga mempersoalkan pelantikan bukan Melayu sebagai Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Menteri Kewangan, sambil menambah bahawa hak Melayu harus dipertahankan di semua peringkat. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/04/isu-rasis-nazri-mca-mic-mungkin-keluar-bn/