Petugas-petugas Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara mengembur tanah selepas selesai proses pengebumian semula jenazah Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrim Hassan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara. foto AFIQ RAZALI, 15 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Allahyarham Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar, 43, dan dua anak lelakinya bakal dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya petang ini.

Ketiga-tiga mereka akan didakwa dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, ketiga-tiga mereka akan turut dituduh di bawah Seksyen 34 akta yang sama.

“Ketiga-tiga telah ditahan di kediaman mereka jam 6.45 pagi tadi.

“Pertuduhan akan dibuat jam 2.00 petang ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Fadzil, polis turut memburu seorang lagi individu yang masih bebas bagi tujuan siasatan.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya pada 14 Jun tahun lalu dan diklasifikasikan sebagai kes mengejut.

Namun, polis menyiasat semula kes itu sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan forensik yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Nazrin dijumpai mati selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat atas rumahnya di Mutiara Damansara dengan 30 peratus badannya melecur. – MalaysiaGazette