Ketua ARMADA Selangor, Adhif Syan Abdullah.

KUALA LUMPUR – Memartabatkan Melayu dan bercakap perihal haknya yang terpelihara bukan rasis.

Itu ingatan Ketua ARMADA Selangor, Adhif Syan Abdullah kepada pemimpin DAP, Ronnie Liu.

Justeru, pihaknya menyelar kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek yang mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dan mana-mana komponen di dalam gabungan itu supaya jangan jadi ‘lebih Melayu’ dari UMNO dan Pas.

“ARMADA dan Parti BERSATU umumnya menolak kad perkauman dan beberapa sentimen falasi terkait Melayu dan Islam yang dimainkan oleh UMNO dan Pas, itulah yang membezakan idealisme politik antara gabungan anak Melayu di dalam PH dan UMNO-Pas.

“Namun usah diganggu gugat perihal utamanya yang terkait dengan Islam dan Melayu. Itu wajib ditegur dan dijadikan sandaran. Perihal terkait orang Melayu dan Islam wajib terus dijaga!” kata Adhif Syan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Adhif Syan, acuan yang memperuntukkan menjaga kedudukan Melayu disamping memelihara keberadaan tiap kaum yang selama ini dijulang menerusi Perlembagaan Persekutuan dan amalan Rukun Negara perlu terus dimartabatkan malah Ronnie sendiri perlu jelas dan sedar bahawa politik di Malaysia ini adalah berkisar dan bertunjangkan orang Melayu.

“Satu perkara yang perlu Ronnie Liu sedar apa yang membezakan ‘idealisme’ dan pembawakan politik Melayu PH dan Melayu UMNO-Pas selain dari anti-perkauman adalah Melayu PH bukanlah terdiri dari mereka yang merompak dan mencuri hasil rakyat malah bermalasan dengan perbuatan rasuah selain dari mengkhianati segenap amanah rakyat,” katanya.

Justeru, beliau tidak mahu ada dalam kalangan orang bukan Melayu cuba ‘mencucuk jarum’ dan memecahkan keharmonian di negara ini.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/04/ronnie-desak-ph-jangan-melebihkan-melayu/

1 Komen

  1. Wakil rakyat samada cina melayu atau india atau suku kaum lain yang dipilih adalah mewakili kaum masing2, dan memperjuangkan hak masing2 tanpa mengenepikn hak2 kaum lain, itulah wakil rakyat, kalu tak nak diwakil apa, tak kan wakil monyet kutt…

Comments are closed.