SINGAPURA – Singapura mempertahan kedudukannya untuk semua pihak, termasuk Johor, dengan menghormati terma-terma Perjanjian Air 1962.

Dalam satu kenyataan di sini, Kementerian Luar Singapura berkata, republik itu mengambil maklum tentang rancangan Johor untuk meningkatkan kapasiti menghasilkan air terawat bagi memenuhi keperluan negeri itu.

“Ia (rancangan Johor) tidak menjejaskan kedudukan Singapura kerana semua pihak, termasuk Johor, mestilah menghormati syarat-syarat Perjanjian Air 1962, yang mana tiada pihak yang boleh berubah secara unilateral,” katanya.

Kementerian itu mengeluarkan kenyataan tersebut bagi menjawab kenyataan Menteri Besar Johor pada 1 Mac lalu.

Baru-baru ini, Datuk Osman Sapian berkata, Johor merancang untuk tidak lagi mendapatkan bekalan air terawat dari Singapura sekali gus mahu menampung sendiri keperluan sumber itu.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, perancangan berhubung perkara tersebut akan dimuktamadkan tidak lama lagi. – MalaysiaGazette