Dr. Streram Sinnasamy

KUALA LUMPUR – Ketua PKR Cabang Rembau, Dr. S. Streram pasrah sekiranya tidak dicalonkan untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan nanti.

Malah katanya, beliau akan terus memberikan sokongan terhadap PRK itu sekiranya orang lain menjadi calon Pakatan Harapan (PH).

“Sesiapa calon yang mereka letak, saya akan sokong sepenuhnya untuk memenangkan kerusi ini daripada BN.

“Itu keputusan saya walaupun saya kerja (jalankan aktiviti di kawasan Rantau) sudah tiga setengah tahun. Saya beri peluang untuk parti dan juga presiden untuk membuat keputusan.

“Jadi saya rasa tak kira bangsa atau agama yang disenaraikan sebagai calon, paling penting (mestilah) seorang yang dikenali oleh masyarakat, pengundi di Rantau itu untuk menang PRK,” katanya memetik laporan Malaysiakini hari ini.

PRK Rantau bakal diadakan setelah Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak sah dan terbatal serta mengarahkan pilihan raya semula diadakan.

Semalam, 11 pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam kawasan DUN Rantau menolak S. Streram sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk PRK DUN tersebut.

Mereka mendakwa, PH akan kalah lebih awal jika kepimpinan gabungan itu masih bertegas untuk mencalonkan pakar bius itu.

Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April selepas S. Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana beliau tidak memiliki pas dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). -MalaysiaGazette