Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (PWKM), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (tengah) mencuba sendiri makanan diiringi Timbalan Menteri PWKM, Hannah Yeoh (dua kanan) ketika melawat pameran pada Majlis Pelancaran Program Keusahawanan Wanita PLUS di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkel (Selatan), Dengkil, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 04 MAC 2019

DENGKIL – Peningkatan penyertaan wanita sebagai usahawan dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKR) membantu menjana pertumbuhan ekonomi yang ketara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia sekaligus akan memastikan kesaksamaan gender dan pemerdayaan wanita dalam dunia perniagaan sentiasa diperkasakan kerajaan.

Katanya dengan kira-kira 99 peratus perniagaan di negara ini berkategori PKS, 20 peratus daripadanya dikendalikan wanita di seluruh negara.

“Program Keusahawanan Wanita PLUS julung kali ini membuka satu lagi lembaran dalam memperkasa usahawan dalam kalangan wanita berpotensi.

“Perkhidmatan yang ditawarkan PLUS Malaysia Berhad melalui 33 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) ini menyediakan peluang kepada wanita serta ibu tunggal memasarkan produk mereka terus kepada pelanggan lebuh raya.

“Sehingga kini terdapat 201 orang atau 46 peratus peniaga adalah wanita dan 7 peratus daripadanya ibu tunggal,” katanya semasa berucap dan melancarkan prgram Keusahawanan Wanita PLUS di R&R Dengkil (Arah Selatan) di sini.

Turut hadir Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita menyarankan bahawa kejayaan itu tidak akan datang dengan mudah ke tangan dan kaum hawa harus peka dan mempunyai ciri keusahwanan dengan sedia merebut peluang untuk mengharungi dunia keusahwanan.

“Program WEP ini bertepatan dengan Hari Wanita Sedunia yang akan disambut 8 Mac ini dan kementerian komited memastikan kaum wanita diperkasa dengan kemahiran dan kompetensi yang relevan dalam perniagaan.

“Melatih 20 wanita berpotensi jadi usahawan oleh PLUS setiap tahun dengan sasaran 100 wanita dalam lima tahun tanpa sewa selama dua tahun pertama dengan peruntukan berjumlah RM5 juta suatu yang harus dicontohi korporat dan swasta.

“Inisiatif PLUS ini menjadi penggerak kepada swasta dan syarikat korporat lain bagaimana untuk membantu kerajaan melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

“Harus ingat oleh kaum wanita bahawa tiada ubat magis ‘ magic pill yag boleh menjayakan anda dalam perniagaan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette