Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke pada Sidang Media selepas Mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara Bil.1/2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 05 MAC 2019.

PUTRAJAYA – Majlis Pengangkutan Negara melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyiapkan satu garis panduan melupuskan kereta-kereta terbiar dalam tempoh sebulan lagi.

Ia kemudiannya akan dibentangkan kepada kabinet bulan depan dalam Program Pelupusan Kenderaan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebelum ini tanpa prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan kerajaan khasnya pihak berkuasa tempatan (PBT) menghadapi masalah sehingga masa panjang sehingga mencecah antara enam hingga 12 bulan untuk melupuskan kenderaan tersebut.

Selain daripada tempoh masa panjang, jelas Anthony, PBT turut berdepan dengan kos yang sangat tinggi sehingga mencecah ratusan ribu kerana terpaksa menyimpan kenderaan itu dalam depoh simpanan.

“KPKT telah menyediakan SOP di mana pihak PBT akan mempunyai kuasa untuk melupuskan mana-mana kenderaan terbiar ini dalam tempoh sebulan. Kalau kenderaan itu sudah terbengkalai berbulan-bulan, maksudnya PBT mempunyai SOP untuk mengambil kenderaan itu dan menyitanya.

“Selepas itu PBT akan menyahdaftarkan kenderaan itu sebelum dilupuskan. Kita sebenarnya mahu mempercepatkan proses dalam sebulan.

“Mana-mana orang yang membiarkan kereta mereka di mana-mana tempat, kita beri notis seminggu sahaja sebelum kita tarik kereta itu ke depoh sementara.

“Ketika ini garis panduan ini telah di siapkan, kita akan bawa ianya kepada kabinet sebelum mendapat kelulusan daripada Majlis Negara, saya jangka dalam Julai kita sudah boleh kuatkuasakan inisiatif ini,” katanya.

Anthony berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Pada Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang Undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018.

Ia antara lain bagi memberi kuasa kepada Menteri untuk membangunkan satu kaedah khusus berkenaan pembatalan pendaftaran kenderaan bermotor atas sebab munasabah.

Jelas beliau, masalah kereta terbiar merupakan masalah yang serius kerana kira-kira 15,000 kereta terbiar direkodkan di lapan PBT di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor bagi tempoh 2014 sehingga 2017.

“Bukan sahaja jumlah ini sangat banyak tetapi kosnya juga sangat tinggi. Saya bagi contoh, untuk tujuan tarik kenderaan-kenderaan untuk lupus sahaja, satu trak berharga RM100,000.

“Malah Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) terpaksa berbelanja RM564,000 saban tahun bagi menyimpan kenderaan-kenderaan ini di sewa depoh.

“Banyak sebenarnya implikasi kewangan terpaksa ditanggung kerana kenderaan-kenderaan ini dibiarkan terbengkalai sebegitu sahaja, ini juga menyusahkan masyarakat tempatan selain mengundang permasalahan lain,” ujarnya. –MalaysiaGazette