Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof menyempurnakan gimik pelancaran sambil diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi (dua kanan) dan Ahli Majlis Usahwan Muda ASEAN Malaysia, Syed Nabil Fauwaz Aljeffri (kiri) pada Forum Hari Usahwan Malaysia ASEAN di Mahkota Hall, SME Corp, Platinum Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Perbincangan cadangan projek kereta nasional ketiga kini di peringkat akhir untuk memukmadkan persefahaman dengan rakan strategik teknologi, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata, keputusan akhir hanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas terma dan syarat dipersetujui antara kerajaan dan semua pihak yang terlibat.

“Kita hampir memuktamadkan persefahaman dengan rakan strategik teknologi.

“Kita berharap Perdana Menteri akan umumkan tidak lama lagi, bila kita sudah setuju terma dan syarat.

“Saya tak tahu bila nak umum, bergantung kepada masa perdana menteri,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Forum Hari Keusahawanan Malaysia-ASEAN 2019 di SME Corporation Malaysia (SME Corp), Platinum Sentral, hari ini.

Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof
Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, mendedahkan lebih 10 pelabur swasta mengemukakan cadangan terbabit dalam pengeluaran model sulung kereta hibrid di bawah projek kereta nasional ketiga itu.

Qatar mungkin menjadi rakan strategik Malaysia dalam pembangunan kereta nasional ketiga yang diilhamkan oleh Dr Mahathir.

Selain projek kereta nasional ketiga, Malaysia juga terbuka jika Qatar ingin melabur dalam sektor automotif negara yang lain seperti komponen automotif atau penghasilan kereta elektrik. – MalaysiaGazette