Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menempelak Datuk Seri Najib Razak berhubung kerugian yang berlaku dalam Khazanah Nasional.

Menurut Azmin, kerugian yang dialami oleh Khazanah Nasional telah berlaku sebelum Pakatan Harapan mengambil alih kuasa.

Malah, beliau menggesa pemimpin Barisan Nasional termasuk bekas perdana menteri bertanggungjawab terhadap kerugian yang telah dialami oleh sayap pelaburan negara itu.

“Masalahnya sesetengah ahli politik hari ini, sering kali menteri-menteri yang telah gagal, bercakap dulu dan kemudian baru periksa apa yang telah dikatakan.

“Akhirnya meludah ke langit, terkena muka sendiri. Ini sebabnya,” kata Azmin menerusi ciapan di Twitter.

Mohamed Azmin berkata, kerugian paling besar yang dialami oleh khazanah adalah kerana pelaburannya dalam syarikat penerbangan, Malaysia Airlines yang gagal memperbaiki prestasi syarikat itu.

Katanya, meskipun Khazanah melaporkan kerugian RM6 bilion disebabkan oleh pengurangan nilai aset syarikat yang meningkat kepada lebih daripada RM7 bilion, namun, semua itu berpunca daripada semakan semula aset dan pelaburan yang telah dibuat sebelum kerajaan baru mengambil alih.

“Jika tahu sikit-sikit janganlah berlagak seperti bijak pandai?

“Dan rasa apa? Kerugian tunggal paling besar dalam (penyata keuntungan dan kerugian) lebih RM3 bilion adalah di Malaysia Airlines kerana strategi yang dilaksanakan tidak memperbaiki syarikat itu.

“Pelaburan yang dibuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini ke dalam syarikat penerbangan itu sebelum Pakatan Harapan mengambil alih perlu dikurangkan.

“Bagaimana pula tentang pertimbangan fikiran yang menjadi semakin lemah (impaired),” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata tahun, 2018 merupakan masa Khazanah membersihkan aset bermasalah dalam portfolionya.

“Setelah mengambil langkah-langkah ini, saya berani mengatakan bahawa Khazanah akan kembali mengaut keuntungan pada 2019,” tambah beliau.

Khazanah merekodkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion pada 2018, berbanding untung sebelum cukai RM2.896 bilion tahun sebelumnya.

Itu merupakan kerugian pertama yang dicatat syarikat pelaburan kerajaan dalam tempoh 10 tahun. – MalaysiaGazette