Gambar Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Datuk Seri Rameli Musa yang dimuatnaik Rafizi Ramli di blognya.

KUALA LUMPUR – Gambar Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Pengerusi KTMB, Datuk Rameli Musa dirakam ketika mereka mengadakan pertemuan dengan Allahyarham Dr Surin Pitsuwan di Thailand bagi membincangkan nasib umat Islam di negara tersebut dan juga Myanmar.

Abdul Hadi bagaimanapun tidak dapat mengagak dengan jelas tarikh pertemuan tersebut yang katanya antara dua tahun lepas dan bukan gambar beliau menerima cek dari Rameli.

Beliau yang ditanya tentang gambar tersebut pada sidang media di Wisma Darul Iman menjelaskan lebih lanjut intipati pertemuan yang turut dihadiri oleh Rameli itu antara lain menyentuh penindasan umat Islam di Myanmar dan keadaan di Thailand di mana umat Islam masih selamat.

Gambar tersebut didedahkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengaitkan hubungan Presiden Pas itu dengan Rameli yang didakwa orang yang bertanggungjawab membayar RM1.4 juta kepada Clare Rewacaste Brown bagi menyelesaikan kes Abdul Hadi dan Editor Sarawak Report itu di luar mahkamah.

Rafizi dalam laman blognya mendedahkan gambar tersebut sambil menafikan Rameli adalah rakan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti mana yang didakwa di laman sosial sebaik saja nombor akaun pembayar RM1.4 juta dikongsi oleh Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Beliau yang mendakwa Rameli adalah rakan baik Abdul Hadi berkata, kerajaan Pakatan Harapan mengamalkan sikap terbuka dalam melantik ahli perniagaan itu sebagai pengerusi KTMB walaupun jelas memberikan bantuan kepada Pas.

Pendedahan Rafizi itu bagaimanapun disanggah oleh bekas Setiausaha Politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd Noor.

Beliau yang berkhidmat dengan Anwar pada 1996-1998 mendakwa Rameli merupakan rakan rapat presiden PKR itu sambil menyifatkan Rafizi tidak tahu apa-apa kerana masih di bangku sekolah ketika itu. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: