PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kematian Nur Aisyah Aleya, 3 tahun yang dipercayai dibunuh adalah satu tragedi menyayat hati.
Menurut beliau, kematian kanak-kanak itu mencerminkan masalah dalam masyarakat yang perlu ditangani segera dan tidak harus dibiarkan begitu sahaja.
“Itu adalah satu tragedi, dari laporan yang saya baca budak itu mengalami sawan masa dia dimandikan dan mungkin penjaga dia panik.
“Ini tidak boleh menjadi satu budaya, ada yang tidak kena dengan masyarakat kita hari ini yang membuatkan orang yang menjaganya meninggalkan begitu sahaja bila hadapi masalah atau cemas,” katanya kepada media selepas melancarkan Kad OKU baharu di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) sebentar tadi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Semalam, mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, yang hilang ketika dalam jagaan pengasuhnya di Kuarters Hospital Langkawi, hujung bulan lalu sudah ditemui di Gunung Raya, Langkawi.
Bagaimanapun, polis hanya menemui tengkorak dan sedikit cebisan rambut Nur Aisyah Aleya yang dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya Ahad lepas.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia pada 16 Februari lalu. -MalaysiaGazette