Hassan Basri Muhammad
Hassan Basri

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi amaran keras kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar tidak cuba meniup api perkauman antara Melayu, Islam dengan kaum lain.

Naib Presidennya, Hassan Basri Muhammad menegaskan, pertubuhan itu sangat terkesan dengan kenyataan biadab dan kurang ajar Menteri Kewangan tersebut yang mengisytiharkan kesepakatan UMNO dan Pas sebagai tiupan semboyan perang kepada kaum lain.

Katanya, apakah Guan Eng merasakan kerana mereka berkuasa dan memerintah, maka tiada siapa berani mengambil tindakan ke atasnya yang membuat kenyataan berniat jahat dan menghasut?

“Jangan sekali-kali Guan Eng dan konconya meniup api dalam sekam dan menolak sarang tebuan dalam mencari kepentingan politik Pakatan Harapan (PH).

“Apakah beliau sudah lupa atau buta sejarah hitam 13 Mei 1969 yang mengakibat berapa ramai kaum Melayu, Cina, India dan pelbagai bangsa lain terbunuh dan dibunuh?

“Ianya bermula dengan insiden yang dicetuskan secara provokasi melampau yang sangat menyakitkan hati umat Melayu, Islam sehingga mereka bangkit,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Hassan Basri menegaskan, walaupun provokasi jahat Guan Eng di bawah PH sebagai strategi untuk menghalang dan menakutkan kaum lain atas kesatuan ummah UMNO dan Pas, jangan sekali-kali memprovokasi secara melampau.

Beliau berkata, walaupun Guan Eng cuba memperbetulkan kenyataan bodoh dan bangangnya itu, tetapi umpama kata pujangga ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

“Paling malang lagi Perkasa sangat kesal dengan pimpinan Melayu PH yang menikus tanpa seorang pun menyanggah kenyataan jahat Setiausaha Agung DAP itu walaupun jelas kenyataan itu boleh menjahanamkan negara, bangsa dan menggugat keselamatan negara.

“Mana suara Melayu PPBM, PKR dan PAN. Pinjaman kata Allahyarham Prof. Hamka kepada Melayu Islam PH, ‘bila agama mu dihina, eloklah balut tubuh mu dengan kain kafan’.

Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah
Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah

Sementara itu, Naib Wira Perkasa Malaysia, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah mengutuk keceluparan Guan Eng mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kemarahan dan kebimbangan orang Melayu serta umat Islam.

Jelas beliau, Wira Perkasa merasa kesal kerana Menteri Kewangan itu telah meletakkan negara ini dalam keadaan tidak stabil, terancam dan berbahaya kepada keharmonian kaum.

“Kenyataan menggunakan frasa ‘pengisytiharan perang’ secara terang-terangan adalah cubaan menghasut, menambahkan kebencian dan api kemarahan dalam kalangan kaum yang boleh mengganggu-gugat keamanan negara,” tegasnya.

“Wira Perkasa Malaysia ingin menegaskan, kita tidak akan sekali-kali berkompromi atas sebarang bentuk cubaan atau tindakan hasutan dan kebencian terhadap kaum Bumiputera walaupun tindakan itu dilakukan oleh menteri Kabinet sekalipun.

“Kita menentang sekeras-kerasnya dan mendesak Guan Eng menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka.

“Beliau harus dipertanggungjawabkan serta diambil tindakan sewajarnya atas tindakan hasutan yang boleh membangkitkan ketegangan kaum dan menjejaskan keamanan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, Perkasa menyambut baik kerjasama Pas dan UMNO yang dimeterai secara rasmi antara kedua parti terbesar Melayu itu Selasa lalu.

Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak Islam dan pribumi, Perkasa gembira dengan keputusan itu kerana ia sebagai satu agenda penting penyatuan ummah.

nasrulhasan
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Ketua Penerangannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menjelaskan, kerjasama itu sebagai permulaan untuk sama-sama menegakkan syiar Islam.

“Penyatuan ummah kali ini bukan sekadar gabungan kerjasama NGO, malah parti politik juga turut bersatu demi memperkasakan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

“Sebelum ini, pemimpin parti tersebut tidak dapat disatukan kerana agenda perjuangan politik masing-masing, namun hari ini atas doa rakyat, mereka telah bersatu demi kebaikan Islam dan Melayu,” katanya.

Jelas Nasrul Ali Hasan, kerjasama politik antara Pas dan UMNO itu tidak boleh dilihat dari sudut pandangan sempit, apatah lagi ia diselubungi dengan politik kebencian mahupun permusuhan yang sudah terbentuk sekian lama.

“Sampai bila orang Melayu khususnya dalam dua parti itu mahu bertelagah sesama sendiri, sedangkan kaum lain bijak mengambil kesempatan untuk memperkukuhkan kuasa politik mereka.

“Penyatuan ini lebih jelas perjuangannya jika dibandingkan kerjasama yang berteraskan agenda politik semata-mata,” katanya.

Beliau menyataka, sikap melampau sesetengah parti akan menjadi pemangkin kepada ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya melemahkan kestabilan sosio-politik negara.

“Usahlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita meruntuhkan perpaduan yang sekian lama terbina dan menggadai kuasa serta maruah yang ada.

“Demi Islam dan masa depan ummah, inilah masanya kita bersatu tanpa mengira fahaman politik dengan mengenepikan segala muslihat yang cuba mencabar Perlembagaan Negara dan berusaha untuk memesongkan fikiran kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast