Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (duduk tengah) beramah mesra dengan murid pendidikan khas pada Pelancaran Kad OKU Baharu di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 MAC 2019

PUTRAJAYA – Walaupun tiada paksaan kepada ibubapa untuk memastikan anak-anak mereka divaksinkan, namun mereka digalakkan berbuat demikian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Azizah.

“Kita memang galakkan (untuk anak-anak divaksinkan). Kita sekarang tak ada langkah memaksa, itu pilihan ibubapa.

“Tapi kita syorkan lindungilah anak-anak dari apa-apa yang mungkin berlaku kalau vaksin sekali sebelum penyakit tu mungkin terkena,” katanya kepada media hari ini.

MGF070319_TPM KAD OKU BAHARU10
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada Pelancaran Kad OKU Baharu di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 MAC 2019

Jelas Wan Azizah, kerajaan masih membuat perbincangan dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan bagi mencari langkah bagi memastikan isu ini dapat diatasi segera.

“Masih dalam perbincangan macam mana nak membolehkan ramai lagi ibu lbapa gunakan vaksin dan tidak layan perkara karut yang kaitkan dengan penyakit autism, kita ada bukti berkaitan vaksin untuk mencegah penyakit,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Pendidikan Maszlee Malik memaklumkan kerajaan tidak akan mengenakan larangan terhadap pelajar yang tidak divaksin daripada pergi ke sekolah.

Jelasnya, isu vaksin dan hak mendapatkan pendidikan berbeza dan di bawah tanggunjawab dua kementerian berbeza.

Bulan lalu, Persatuan Doktor Islam Malaysia berkata sudah sampai masa suntikan vaksin diwajibkan sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan kerana ia membabitkan kematian dan boleh menjadi epidemik jika tidak ditangani dengan baik.

Malah, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa, gerakan anti-vaksin dilihat sebagai faktor utama tahap imunisasi negara merosot, malah menyukarkan pihaknya mewajibkan pengambilan vaksin terhadap kanak-kanak di negara ini. -MalaysiaGazette