Foto Instagram Baihakki.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Baihakki Khaizan mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan Singapura yang diwakilinya sejak 2003.

Berita itu diumumkan di laman sosial Instagram miliknya.

Baihakki telah mengumpulkan 134 kaps dan menjaringkan lima gol di peringkat antarabangsa. Sepanjang mewakili negaranya, dia telah menjuarai Piala Suzuki AFF sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2004, 2007 dan 2012.

Pemain berusia 35 tahun itu merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaannya kepada pelbagai pihak termasuk keluarganya, bekas jurulatih negaranya, Raddy Avramovic dan Bernd Stange serta para peminatnya.

“Saya secara peribadi mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih Radojko Avramovic kerana mempercayai saya sejak hari pertama mewakili negara. Dialah jurulatih dan juga bapa yang telah membimbing kami sama ada di atas padang atau di luar padang.

“Ucapan terima kasih kepada jurulatih Bernd Stange kerana hadir dengan memperkenalkan cara bola sepak Eropah. Kami sebagai pemain begitu teruja dapat mempelajari silibus bola sepak yang baru dan menguji kekuatan dengan pasukan Eropah serta Asia Timur. Saya tidak akan lupa bagaimana kami mencatat keputusan seri 0-0 dengan Jepun di Saitama.

“Tidak lupa juga kepada semua barisan jurulatih serta staf di belakang tadbir, pembantu jurulatih, pengurus pasukan dan juga jurulatih kecergasan, Sasha Gila. Saya benci anda tetapi anda tahu saya tetap menyayangi anda.

“Saya juga amat menghargai sokongan daripada keluarga saya selama ini terutamanya ibu saya yang sentiasa mendoakan saya dimana sahaja saya berada. Kepada isteri dan anak-anak, terima kasih kerana sangat memahami dan memberi sokongan. Kita sudah boleh merancang cuti panjang hingga tahun depan.

Terima kasih juga kepada para penyokong. Teruskan memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan. Kallang roar sentiasa di hati saya, Majulah !,” tulis bapa kepada tiga orang anak ini di Instagramnya. – MalaysiaGazette