KUALA LUMPUR – Defisit negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan didakwa meningkat berbanding sembilan tahun lalu berikutan jumlah hutang dalam bon dan sukuk kerajaan naik kepada RM52 bilion pada tahun lalu.

Jumlah dan kadar kenaikan itu lebih tinggi berbanding tahun 2017 iaitu RM40.1 bilion dan RM37.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Datuk Seri Najib Razak yang merujuk angka-angka itu dari laman sesawang Bondinfo Bank Negara Malaysia mendakwa kerajaan Pakatan Harapan juga terus meminjam untuk bulan Januari dan Februari tahun ini.

“Untuk dua bulan pertama 2019 ini sahaja, kerajaan PH pinjam RM20.5 bilion lagi.

“Ini ialah kenaikan 153% berbanding pinjaman RM8.1 bilion untuk Januari dan Februari 2018 di bawah BN,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, BNM mengesahkan hutang rasmi kerajaan sudah naik kepada RM741 bilion pada akhir tahun 2018 berbanding RM686 bilion pada akhir tahun 2017 di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Maka hutang rasmi negara telah meningkat kepada RM761.5 bilion pada akhir bulan Februari 2019.

“Maka impian PH untuk benar-benar mencapai hutang RM1 trilion semakin hampir,” sindir bekas perdana menteri itu.

Najib berkata, beliau pelik dengan jumlah hutang itu kerana kerajaan Pakatan Harapan telah ‘menjarah’ sejumlah RM82 juta daripada Petronas.

Malah, semakin banyak aset negara telah dijual, gaji dan bonus penjawat awam pun tidak naik manakala bantuan kepada rakyat telah dimansuhkan atau dikurangkan tetapi hutang negara naik dengan kadar dan jumlah yang semakin tinggi di bawah kerajaan PH.

“Apa sebabnya? Wang sedang guna di mana?,” soal beliau. – MalaysiaGazette