Wan Zulkiflee Wan Ariffin
KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan membayar dividen sebanyak RM54 bilion kepada kerajaan termasuk dividen khas RM30 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin hari ini.

Bercakap kepada pemberita pada sesi taklimat mengumumkan prestasi kewangan dan suku keempat 2018 syarikat itu di sini, hari ini, beliau berkata, dividen khas itu akan dibayar secara berperingkat sepanjang tempoh 2019, bermula pada Januari.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan menjangkakan akan menerima dividen khas sebanyak RM30 bilion daripada Petronas dan menjadikan hasil Kerajaan Persekutuan berjumlah RM261.8 bilion atau 17.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2019.

Bayaran dividen khas daripada keuntungan Petronas itu akan digunakan sepenuhnya bagi menyelesaikan tunggakan bayaran balik cukai yang dianggarkan RM37 bilion merangkumi cukai pendapatan sebanyak RM18 bilion dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan berjumlah RM19 bilion.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 (FY18), keuntungan bersih Petronas meningkat sebanyak 22 peratus kepada RM55.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 daripada RM45.5 bilion pada 2017, didorong oleh peningkatan hasil serta kiraan semula susut nilai aset bersih.

Sebahagian daripada peningkatan itu diimbangi oleh kos produk serta pengeluaran bersih lebih tinggi, susut nilai dan pelunasan dan perbelanjaan cukai.

Hasil bagi 2018 meningkat sebanyak 12 peratus kepada RM251 bilion daripada RM223.6 bilion dalam tahun kewangan 2017, disebabkan terutamanya purata harga direalisasi lebih tinggi bagi semua produk utama namun sebahagiannya diimbangi oleh kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar US serta jumlah jualan lebih rendah terutama bagi gas asli cecair (LNG).

Aliran tunai daripada kegiatan operasi pula meningkat sebanyak 14 peratus kepada RM86.3 bilion daripada RM75.7 bilion pada 2017. – MalaysiaGazette