Wan Zulkiflee Wan Ariffin

KUALA LUMPUR –  Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yakin ke atas segmen gas asli cecairnya (LNG) disebabkan pemintaan yang tinggi, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Beliau berkata LNG merupakan hasil jangka panjang syarikat itu dengan pemintaan global dijangkakan mencecah 350 juta tan setahun.

“Inilah sebabnya kami memberi tumpuan ke atas gas,” katanya pada taklimat mengenai prestasi kewangan suku keempat dan tahun 2018, di sini hari ini.

Jumlah jualan purata gas Malaysia ialah sebanyak 2,777 juta kaki padu standard sehari (mmscfd), 86 mmscfd lebih tinggi daripada 2,691 mmscfd pada 2017, didorong oleh peningkatan permintaan.

Jumlah jualan LNG tahun lepas susut 1.78 juta tan metrik kepada 28.94 juta tan metrik berbanding 27.16 juta metrik pada 2017, disebabkan oleh pengeluaran yang lebih rendah dari Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.

Pada masa yang sama, Wan Zulkiflee berkata Petronas memperoleh 10 tawaran perniagaan LNG pada 2018, yang menyumbang 5.84 juta tan setahun kepada portfolio perniagaannya.

Menjawab pertanyaan mengenai komitmen Petronas dalam mematuhi pengurangan bekalan minyak oleh negara pengeluar petroleum (OPEC), beliau berkata Malaysia bersetuju untuk mengehadkan pengeluarannya kepada 15,000 tong sehari.

“Inilah yang kami usahakan dan kami perlu menunggu hasil mesyuarat OPEC + di Baku, Azerbaijan dari 17-18 Mac dan lihat apa yang akan berlaku di sana,” katanya.

Malaysia bersetuju mengurangkan jumlah pengeluaran minyaknya kepada 15,000 tong sehari daripada tahap awal 20,000 tong, sebagai sebahagian daripada komitmen negara dalam menghadapi cabaran ekonomi dalam pasaran minyak global. – MalaysiaGazette