Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad turut serta membersihkan kawasan sekitar pada Majlis Perasmian Gotong Royong Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan Malaysia di PPR Seri Alam, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan berhasrat untuk memperluaskan penggunaan teknologi Kecergasan Buatan (Artificial Intellingence) dalam memerangi wabak aedes dan denggi di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, projek rintis teknologi AI dalam mengenalpasti kawasan panas wabak denggi untuk menggerakkan langkah pencegahan telah dilaksanakan di Pulau Pinang sebelum ini.

MGF09032019_Gotong Royong Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan Malaysia_08
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad turut serta membersihkan kawasan sekitar pada Majlis Perasmian Gotong Royong Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan Malaysia di PPR Seri Alam, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 MAC 2019

“Kajian Institut penyelidikan Perubatan (IMR) kita menunjukkan keberkesanan yang baik pelaksanaan AI.

“Maka andai kata dengan sumber kewangan kita boleh memperluaskannya ke negeri lain dan kita dalam kementerian mempunyai pakar AI untuk memanfaatkan teknologi itu secara lebih lanjut.

“Ia berpotensi menjejaki kawasan potensi wabak denggidan kita merasakan sudah tiba masanya menggunakan teknologi AI dan permulaan kita boleh melaksanakan di Selangor dan KL yang menunjukkan trend wabak denggi yang meningkat lebih dua dekad ini,” katanya dalam sidang media di ibu negara.

Beliau telah merasmikan Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan 2019 di PPR Seri Alam, Cheras di sini.

Tambahnya, minggu lalu keberkesanan teknik AI memerangi wabak denggi di Pulau Pinang telah dibincangkan kementerian.

Mengenai jumlah kes denggi yang dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, beliau menegaskan sehingga 7 Mac lalu, kes denggi menyaksikan peningkatan 236.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kali ini sebanyak 2,489 kes dilaporkan termasuk satu kes kematian dan 278 kompaun dikeluarkan dengan nilai berjumlah RM139,000 manakala dua kes telah diheret ke mahkamah untuk perbicaraan.

“Orang ramai khususnya masyarakat perlu mempertingkatkan kesedaran sivik mengenai bahaya denggi dan tidak boleh bersikap enteng dan leka menjaga kebersihan persekitaran serta rumah.

“Penguatkuasaan kerajaan sahaja tidak cukup untuk memerangi wabak berkenaan kecuali kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat yang semakin masih rendah dan tidak mengambil serius bahayanya,” tegas beliau.

MGF09032019_Gotong Royong Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan Malaysia_16
Sebahagian penduduk yang turut serta membersihkan kawasan sekitar pada sidang media selepas merasmikan Program Gotong Royong Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan Malaysia di PPR Seri Alam, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 MAC 2019

Dalam pada itu, Dzulkefly mengesahkan KKM telah menerima beberapa aduan berhubung operasi doktor palsu bernama Kabitha yang menyediakan khidmat kesuburan tanpa pentauliahan.

Tegasnya, aduan itu sedang disiasat dengan teliti.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tindakan yang akan dilaksanakan.

Mengulas kes keracunan kimia di Johor, Dzulkefly berkata, tiga pesakit sudah dibenarkan pulang manakala 36 masih dirawat.

“Enam daripadanya masih kritikal dan lima dirawat dalam Unit Rawatan Rapi dan seorang lagi dipantau dalam bilik HDU,” katanya lagi. – MalaysiaGazette