Dr. Streram Sinnasamy

SEREMBAN – Timbalan Ketua PKR Rembau Dr S. Streram tidak menolak kemungkinan dakwaan beliau gagal menjelaskan hutang ada kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau dan akan berbincang dengan pucuk pimpinan pusat bagi menentukan langkah seterusnya.

Katanya hutang tersebut telah dijelaskan sepenuhnya kepada Anggota Parlimen Segamat Datuk Seri Dr. R. Santhara Kumar dan semua dokumen serta bukti pembayaran telah diserahkan kepada pimpinan pusat selepas isu tersebut dibangkitkan di peringkat dalaman.

“Saya berhutang dengannya RM60,000 dan telah membayar keseluruhan hutang itu pada bulan Oktober tahun lepas secara tunai yang saya serahkan kepada pegawai khasnya.

“Tetapi apabila isu ini ditimbulkan di peringkat dalaman, saya kemudiannya telah serahkan dokumen dan bukti pembayaran kepada pimpinan pusat pada awal bulan lepas dan kalau naik mahkamah pun saya ada bukti,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya beliau juga terkejut dengan tindakan Santhara Kumar yang menurutnya adalah kawan baik beliau.

“… saya tidak tolak kemungkinan perkara ini ditimbulkan ada kaitannya dengan PRK Rantau untuk memburukkan imej saya,” katanya.

Semalam, satu mesej tular dalam laman media sosial mendakwa Santhara Kumar membuat laporan polis terhadap Dr Streram atas dakwaan gagal membayar balik wang yang dipinjam bagi tujuan pembelajaran anaknya.

— BERNAMA