Foto hiasan - Penganut agama Buddha sedang menyalakan colok sempena sambutan Perayaan Sembilan Maharaja Dewa ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Nine Emperor Gods Temple Ampang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao mengalu-alukan pembentukan unit khas untuk memantau artikel dan tulisan yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Presiden majlis itu, Mohan Shanmugam bagaimanapun juga berharap unit seumpama dapat dibentuk untuk agama-agama bukan Islam.

Katanya, pihak majlis juga akan membantu pihak berkuasa untuk memantau dan mengenal pasti kandungan yang menghina agama bukan Islam.

“Kami sedia bekerjasama dengan kerajaan dan menyediakan rujukan untuk tujuan ini,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata, pengwujudan unit pemantauan untuk agama bukan Islam akan membolehkan agama berkenaan berasa mereka menerima layanan adil sekali gus mengelakkan salah faham dan isu agama yang lain.

Ditanya mengenai unit pemantauan tersebut, Mohan berkata, ia dapat membantu memastikan keharmonian antara agama lebih terjamin.

“Kes menghina agama sering berlaku pada masa ini, oleh itu, kami memerlukan unit yang dapat mengawal keadaan ini,”  katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof sebelum ini mengumumkan penubuhan Unit Pemantauan Isu Hina Islam bagi memantau penulisan atau provokasi bersifat menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Beliau berkata, unit yang memantau tindak-tanduk pihak tidak bertanggungjawab itu ditubuhkan berikutan berlakunya kes menghina Nabi Muhammad SAW dan perbuatan mempersenda agama Islam. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan: Tiada kompromi, Unit Pemantauan Isu Hina Islam ditubuh – Mujahid