SERI KEMBANGAN- Seramai 666 daripada 42,849 calon yang hadir dalam pemeriksaan STPM 2018 mencatatkan keputusan PNGK 4.00.

Daripada 666 calon yang mendapat PNGK 4.00, 489 calon adalah daripada golongan B40, kata Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Tambah beliau, bilangan calon yang mendapat PNGK 3.50 ke atas juga meningkat kepada 7,129 calon pada STPM 2018 berbanding 6,408 calon pada 2017.

Manakala bilangan PNGK 3.00 ke atas turut menyaksikan peningkatan kepada 18,113 calon berbanding 17,423 pada 2017.

“Dengan peningkatan PNGK secara keseluruhannya ini, saya menjangkakan bilangan peluang lepasan STPM 2018 untuk diterima masuk ke universiti awam adalah lebih besar kerana peningkatan peratus dan bilangan calon yang mendapat PNGK 2.75 adalah tinggi iaitu 56.90 peratus berbanding 56.19 peratus pada 2017,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2018 di sini hari ini.

Jumlah calon yang mendapat 5A dan 4A dalam STPM 2018 meningkat kepada 673 calon berbanding 521 dalam STPM 2017.- MalaysiaGazette