Seramai 40 orang pelajar SMK Pasir Putih dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas terkesan dengan pencemaran gas.

KUALA LUMPUR – Walaupun diberi peringatan pelbagai pihak, tindakan Kementerian Pendidikan membuka semula semula Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih di Pasir Gudang di Johor ternyata mengundang padah.

Sebelum itu, kedua-dua sekolah itu ditutup akibat pencemaran gas.

Hari ini, seramai 40 orang pelajar SMK Pasir Putih dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas terkesan dengan kesan pencemaran yang sama.

Pengerusi Sekretariat Pendidikan dan Pengajian Tinggi Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraslina Zainal Abidin semalam telah memberi amaran agar kedua-dua sekolah tersebut tidak dibuka buat sementara waktu.

“Saya merasa amat dukacita dan terguris hati apabila melihat gambar pelajar diusung dan dibawa dengan ambulan untuk ke hospital hari ini selepas hanya beberapa jam memulakan sesi persekolahan.

“Seperti yang saya perkatakan semalam, pihak Kementerian Pendidikan perlu turun padang untuk memahami situasi yang berlaku di kedua-dua sekolah berkenaan sebelum membenarkan ia beroperasi semula.

“Malah, untuk memulakan sesi persekolahan hari ini pun dikhuatiri tidak mendapat sebarang pengesahan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sama ada keadaan di sekolah berkenaan benar-benar selamat daripada sebarang pencemaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

0550fd61-c4da-4fce-90c7-5c4238aeb64d
Ambulan dikejarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih di Pasir Gudang.

Noraslina menegaskan, pihak kementerian perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak berkaitan seperti JAS atau Jabatan Bomba dan Penyelamat yang memberikan jaminan kedua-dua sekolah itu benar-benar selamat sebelum arahan membukanya semula dikeluarkan.

Jelas beliau,ini adalah bencana yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak seperti Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Kesatuan Guru, Alumni Murid-Murid Sekolah yang harus memainkan peranan bagi memastikan pihak kementerian mengambil langkah sewajarnya.

“Kami amat berterima kasih kepada pihak bomba yang bertindak segera mengarahkan penutupan semula dua sekolah ini sebelum keadaan lebih teruk berlaku,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/10/tangguh-dulu-buka-2-sekolah-tercemar-sisa-kimia/