Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhammad Faiz Na'aman bercakap pada sidang media mengecam dan menolak sebarang usaha untuk mempromosikan budaya Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Queer (LGBTQ) di Malaysia di Pejabat PPBM, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 11 MAC 2019

PETALING JAYA – Golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) secara tegas diingatkan supaya tidak memanipulasikan hak kebebasan bersuara dengan cuba menekan kerajaan dan memaksa rakyat di negara ini menerima budaya mereka.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Dr. Muhammad Faiz Na’aman mengecam tindakan perhimpunan haram golongan LGBT yang berselindung di sebalik sambutan Hari Wanita baru-baru ini sebagai biadab, tidak sensitif, terdesak dan melakukan provokasi terhadap ketenteraman awam.

Katanya, kebebasan bersuara sudah tentunya terbatas dalam lingkungan undang-undang negara dan sensitiviti tempatan dan tidak boleh diambil secara literal.

“Jangan menyalahgunakan hak kebebasan bersuara sesuka hati dan dalam mengekspresikan kebebasan bersuara perlulah mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan tanpa ganggu ketenteraman awam.

“Apa yang dilakukan golongan LGBT ini ialah cuba menekan dan memaksa kerajaan dan rakyat supaya menerima budaya songsang mereka, sekali gus melanggar fitrah manusia normal,” katanya dalam sidang media Khas di Ibu pejabat PPBM di Yayasan Selangor di sini.

Muhammad Faiz yang ditanya mengapa Malaysia Baharu tidak terbuka dalam soal LGBT berkata, gaya hidup mereka ini bertentangan dengan nilai tradisi Asia yang mempunyai norma hidup mengikut agama dan moral.

“Tun Mahathir pernah sebut di Thailand tahun lalu bahawa tidak semua perkara yang datang daripada barat itu kena dengan nilai tradisi Asia.

“Apa akan jadi jika standard kebebasan yang ditetapkan oleh barat pada hari ini, diterima pada suatu hari nanti.

“Adakah tindakan masyarakat barat yang boleh berbogel sesuka hati akan juga kita terima? Kebebasan pasti ada had.

“Ini bukan soal Islam Muslim. Di Indonesia ada persatuan gereja berjumpa dengan Presiden Joko Widodo mengadu tentang kegiatan LGBT yang bertentangan dengan nilai nilai agama mereka.

“Begitu juga di Malaysia, ada agama selain Islam yang turut sensitif dengan pemaparan budaya sonsang ini,” ujarnya lagi.

Menurutnya tindakan sekumpulan LGBT yang berarak di atas jalan secara tiba tiba, jelas menunjukkan mereka memaksa dan menekan kerajaan dan rakyat untuk menerima budaya mereka.

Lantaran itu, tegas beliau, kerajaan perlu pantas bertindak dengan menyekat lebih awal aktiviti seumpama ini secara terbuka ini di masa akan datang.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga tidak pernah menggalakkan atau menyokong sebarang penindasan dalam apa jua bentuk termasuk jenayah ke atas LGBT.

Tetapi golongan LGBT dilarang meluahkan hak di tempat terbuka.

“Jika mereka ada hak pun haruslah tertutup dan dilarang melakukannya secara terbuka, dengan kata lebih jelas mereka tidak digalakkan buat begitu di negara ini.

Dakwaan kononnya golongan ini diserang dan ditindas seperti yang didakwa, ia perlu dilihat daripada sumber atau bentuk kes – sama ada diserang kerana kegiatan seks atau keterlibatan dalam jenayah lain.

“Bagi kerajaan, kami tak pernah menyuruh rakyat mendiskriminasi hak LGBT daripada mendapatkan pekerjaan dan sebagainya, kita cuma tidak mahu mereka meluahkan gaya hidup songsangnya di tempat terbuka yang sensitif bagi rakyat negara ini.

“Kami tidak kisah dengan kewujudan mereka tetapi jika cuba membawa budaya songsang di tempat awam sebagai mencabar pihak berkuasa dan undang-undang negara, ia sebenarnya cuba provokasi tindakan lebih ekstrem daripada pihak yang menunggang agama sentimen.

“Kami tidak mahu kedua-dua puak ini saling provokasi kerana kita mahukan kesejahteraan awam dan keseimbangan di negara ini,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette