Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandar Sultan Iskandar berkenan hadir sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Yang Keempat Belas 2019 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ Yang diilhamkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut baginda, usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mempromosikan nilai dan budaya islam melalui pendekatan rahmatan-lil-alamin dilihat sesuai dengan konsep negara negara Islam berbilang kaum.

“Beta amat menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya islam melalui pendekatan rahmatan-lil-alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran islam yang sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia.

“Seterusnya menjadi model malaysia iaitu model negara islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar,” titah Baginda dalam perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi penggal kedua Parlimen Ke-14, sebenar tadi.

Konsep ‘rahmatan lil alamin’ telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran melalui ayat 107, Surah al-Anbiya’ yang bermaksud: “Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”.

Ulas baginda lagi, seruan-seruan perpaduan hendaklah tidak tinggal sebagai slogan semata-mata, sebaliknya, semangat perpaduan dan usaha perlu benar-benar disuburkan dengan ikhlas dan dihargai.

“Beta menyeru semua pihak untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan, terutamanya yang menyentuh sistem demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai serta bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan,” titah baginda lagi.

Malah titah baginda, tindakan tegas hendaklah diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. -MalaysiaGazette