Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad diminta untuk menyemak semula perjanjian pembelian pesawat dengan Boeing Co. dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Arahan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali susulan nahas Ethiopian Airlines yang mengorbankan 157 orang penumpangnya.

Nahas itu membabitkan pesawat Boeing 737 Max 8, model yang sama digunakan oleh kapal terbang Lion Air yang terhempas di perairan Indonesia pada tahun lalu.

Azmin berkata, perjanjian antara MAB dan Boeing perlu dikaji semula berdasarkan kebimbangan keselamatan yang timbul akibat kemalangan yang melibatkan pesawat yang dikeluarkan oleh syarikat itu.

“Tentunya pengurusan Khazanah perlu meneliti perkara ini dengan segera untuk memastikan keselamatan syarikat penerbangan itu.

“Mereka perlu mengkaji kembali perjanjian yang mereka ada pada masa lalu, “katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

MAB telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Boeing untuk membeli kapal terbang 787 bernilai AS$2.25 bilion pada tahun 2017. – MalaysiaGazette