Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup berucap pada Himpunan Veteran Tentera di pekarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) mengingatkan kerajaan agar tidak berlengah dalam mengatasi isu kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, kerajaan perlu melunaskan janji kepada bekas pasukan keselamatan ini dan tidak perlu menunggu apabila mereka meninggal dunia.

“Mat sabu kena selesaikan masalah bantuan, selesaikan masalah veteran jangan berdolak-dalih

“Bukan ramai pun veteran sebab ramai sudah mati, ramai sudah masuk kubur dan tak larat lagi.

“Berapa kali tukar kerajaan tapi veteran tetap macam ini juga, ada yang terlantar sakit di hospital tapi tak terbela.

“Masa hidup perlu dikenang, dibayar apa patut, bukan bila sudah mati baru nak bagi Tan Sri, Datuk dan pingat, dah mati buat semua itu,” katanya berucap pada Himpunan Veteran Tentera di pekarangan pusat beli-belah Sogo, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM), Azizah Salleh.

Terdahulu, seramai 50 pesara ATM berkumpul dan berhimpun dalam perhimpunan aman di sini.

MGF11032019_HIMPUNAN VETERAN TENTERA12

Sebahagian veteran membuat tabik hormat pada Himpunan Veteran Tentera di pekarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2019.Perhimpunan anjuran GRVATM itu bertujuan mendesak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan beberapa cadangan untuk kebajikan komuniti Pesara itu.

Antaranya menubuhkan Perbadanan Veteran Malaysia Berhad (PVMB) melalui rang undang-undang yang dinamakan sebagai Akta Veteran 2019.

Cadangan itu antara lain bagi mewujudkan Bank Kerjasama Veteran Malaysia (BKVM) di mana sahamnya dimiliki oleh pelbagai koperasi dan persatuan veteran tentera yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Selain itu, himpunan itu menuntut satu organisasi hartanah diwujudkan iaitu Tabung Amanah Hartanah Veteran Malaysia bagi memberi peluang kepada veteran terlibat dalam rangkaian hotel bajet.

Selain itu, GRVATM turut mencadangkan kerajaan untuk menubuhkan Tabung Takaful Veteran Malaysia bagi menyediakan asas perlindungan minima kepada veteran berpencen dan tidak berpencen dengan caruman serendah RM6 bagi perlindungan kemalangan peribadi berjumlah RM100,000. – MalaysiaGazette