Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Yang Keempat Belas 2019 turut hadir Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebenarnya sedang bercakap untuk dirinya sendiri apabila beliau mengulas berhubung Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, TMJ juga bukan wakil rakyat, justeru pandangan beliau itu bukanlah mewakili rakyat jelata dan ia bukanlah satu perkara yang besar.

“Dia ini bercakap untuk diri sendiri dan bukannya wakil rakyat pun,” kata Dr Mahathir kepada media di lobi Parlimen selepas Istiadat selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Yang Keempat Belas 2019.

Beliau diminta mengulas kenyataan TMJ yang melahirkan kebimbangan penyertaan itu dikhuatiri menggugat kedudukan Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi di negara ini.

Baginda malah mengingatkan, bahawa tindakan yang memberi kesan kepada pemerintah tertinggi perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-raja.

“Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ini digubal oleh United Nations (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu). Siapa yang mendapat faedah daripadanya? Hanya beberapa kuasa besar.

“Bagaimana mereka itu tidak pernah mempersoalkan apa yang berlaku kepada rakyat Palestin dan bagaimana rakyat tersebut menderita?

“Ini tidak bagus buat Raja-Raja, Melayu dan Islam. Tanpa anda menyedari, kita selaku orang Melayu telah mempermudahkan mereka untuk mencapai matlamat dan agenda mereka.

“Inilah akibatnya apabila ada segelintir pihak mahu terlalu liberal.

“Kita sentiasa harus mempertegakkan Islam,” katanya seperti dipetik dalam akaun Facebook rasminya, malam tadi.

Tunku Ismail mengulas mengenai penyertaan Malaysia dalam Statut Rome ICC yang mencerminkan komitmen negara terhadap usaha-usaha membanteras jenayah antarabangsa untuk mencapai keamanan dan keselamatan sejagat.

Menurut Wisma Putra, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rome bagi ICC Khamis lepas. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast