PENULIS kecewa membaca banyak komen-komen sinis netizen bila mana ada tangkapan yang dibuat oleh pasukan Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kalau yang ‘kena’ tu geng ‘berjubah dan berserban’.

Terbaru tangkapan terhadap anggota kumpulan pengganas Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang beroperasi di utara Afrika. Mereka ditangkap dalam beberapa serbuan di Lembah Klang dan Sarawak.

Macam-macam andaian dan persepsi negatif dilemparkan pada pegawai dan anggota E8, seolah-olah mereka ini bakal ‘penghuni neraka’ kerana menangkap mereka yang dilihat ‘alim dan warak’ ini.

Begitulah singkatnya pemikiran orang kita. Seolah-olah E8 sengaja mengsasarkan golongan ini dalam tindakan operatif mereka sedangkan ia langsung tidak ada kaitan sama sekali.

Cuma, ada di antara kita terlupa dalam dunia yang kita diami ini, ramai yang menggunakan ‘alasan agama’ untuk menghalalkan perbuatan mereka termasuk menyerang dan membunuh orang yang tidak berdosa.

Sejak menjadi wartawan khususnya wartawan jenayah hampir 20 tahun, penulis telah membuat liputan pelbagai kes yang melibatkan elemen-elemen terorisma di negara kita.

Bermula dari Jemaah Islamiah (JI), Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Al-Qaeda IS, Daesh dan macam-macam nama lagilah. Ini termasuk Abu Sayyaf, kumpulan lanun dan penculik terkenal yang kononnya berjuang demi agama sebaliknya kerja mereka merompak, menculik dan memenggal kepala!

Satu perkara yang ramai orang tak tahu, E8 juga aktif dalam melakukan operasi terhadap pengganas bukan Islam seperti anggota Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan pengganas Sikh yang menganggotai Babbar Khalsa International (BKI) di negara ini.

Berapa ramai kesemua mereka ini ditangkap, dipenjara dan dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

ltte

Ramai yang tak tahu, kalau bukan kerana kerja keras dan risikan anggota E8 khususnya dan PDRM amnya, banyak tempat tumpuan orang ramai dan pelancong di negara kita seperti KLCC, rumah-rumah ibadat dan lain-lain dah musnah dimamah bom!

Namun anggota dan perisik-perisik kita berjaya menjalankan tugas ‘secara senyap dan teratur’ sehingga banyak usaha-usaha sabotaj pengganas ini berjaya dipatahkan satu-persatu!

Sekadar perkongsian, Bahagian E8 ini terdiri daripada mereka yang bertanggungjawab memerangi jenayah keganasan yang bersifat subversif, ekstremis dan sabotaj di negara kita.

Ramai yang tidak menyedari kewujudan unit ini kerana sifat mereka yang ‘low profile’ dan tidak pernah menonjolkan diri .

Ini kerana tugas mereka sangat berisiko dan mencabar kerana perlu menangani ‘manusia gila’ yang berselindung di balik nama bangsa dan agama.

Operasi mereka sangat sulit.

Sebab itu mereka sering dilihat memakai sarung muka (balaclava) kerana perlu menjalankan tugas-tugas risikan, penyiasatan dan pelbagai lagi tugasan lagi yang memerlukan identiti mereka dirahsiakan daripada pengetahuan masyarakat umum.

Yang pasti, setakat ini E8 boleh dikatakan berjaya menjalankan tugas yang diamanahkan di bahu mereka dengan sangat cemerlang.

Beratus pengganas di negara ini berjaya mereka tangkap ‘senyap-senyap’.

mnn

Mereka dah berjaya menangkap beberapa ketua pengganas dari dalam dan luar negeri yang berada negara ini.

Mereka berjaya menggagalkan beberapa percubaan untuk mengebom dan mencetuskan huru-hara di beberapa tempat utama di ibu negara.

Mereka berjaya merampas senjata dan bahan letupan.

Malah mereka berjaya setakat ini menggagalkan begitu banyak perancangan dan agenda kumpulan pengganas yang mahu mencetuskan kekacauan dan penumpahan darah di bumi Malaysia.

Mungkin hari ini kita mengeji dan sinis terhadap usaha dan kerja keras mereka dalam membanteras kegiatan dan elemen-elemen keganasan di dalam negara, tetapi jangan sampai suatu hari nanti berlaku pengeboman dan pembunuhan terhadap rakyat yang tidak berdosa di negara – baru kita ‘teringatkan’ mereka.

Ketika itu percayalah, semuanya sudah tidak memberi makna! – Malaysia Gazette

Tinggalkan Jawapan