Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat Bank Negara Malaysia, Datin Arlina Ariff bercakap pada sesi taklimat mengenai khidmat nasihat dan dakwaan mengatakan bank menjadi punca peminjam muflis di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 MAC 2019

KUALA LUMPUR- “Jangan tunggu rumah sudah hendak kena lelong baru berjumpa dengan bank atau Bank Negara Malaysia (BNM), ketika itu susah kita hendak tolong.”

Itu kata Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat BNM, Datin Arlina Ariff.

Menurutnya, peminjam tidak perlu takut untuk berbincang dengan bank sekiranya menghadapi sebarang kesukaran untuk membuat pembayaran pinjaman.

Apa yang penting, katanya, para peminjam jangan menunggu sehingga tindakan undang-undang telah diambil baharu hendak menghubungi bank kerana ia akan menyukarkan proses untuk membantu peminjam.

Bagi sesetengah kes di mana peminjam tidak dilayan atau diberi solusi terbaik untuk melakukan penyelarasan pinjaman, Arlina menasihatkan orang ramai untuk terus berhubung dengan BNM.

Mereka, katanya, sama ada datang sendiri ke pejabat BNMLINK atau menulis surat, e mel atau panggilan telefon kepada BNMTELELINK.

“BNM tidak pernah mengabaikan aduan orang ramai dan jangan kata tiada tempat untuk minta tolong.

“Ramai yang ingat BNM hanya berfungsi sebagai pihak berkuasa (regulator) sahaja tetapi kami juga sebenarnya berinteraksi secara langsung dengan orang ramai melalui pelbagai cara.

“Kami banyak menerima aduan yang mengatakan peminjam tidak mendapat layanan baik daripada pihak bank dan kami tidak pernah berdiam diri. Tiada satu pun aduan yang diabaikan.

“Kami tidak suka bank yang tidak melayan pelanggan dengan baik. Kami tegas mahu bank mematuhi garis panduan yang diberikan dan mereka perlu memberi jalan penyelesaian kepada pelanggan.

“Terdapat kes di mana BNM telah mengambil tindakan terhadap bank-bank tertentu apabila mendapati mereka telah melanggar garis panduan yang telah diberikan, ini semua adalah hasil daripada aduan pelanggan.

“Jadi jangan takut untuk berhubung dengan kami,” katanya dalam satu taklimat media hari ini.

MGF12032019_Taklimat Bank Negara Malaysia_12
Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat Bank Negara Malaysia, Datin Arlina Arif. foto IQBAL BASRI, 12 MAC 2019

Sebelum ini terdapat banyak laporan yang mengatakan para peminjam terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang termasuk diisytihar bankrap apabila gagal melunaskan pinjaman setelah pihak bank tidak melayan permohonan untuk melakukan penyelarasan.

Tambah Arlina, BNMLINK dan BNMTELELINK menerima interaksi secara purata 2,500 sehari yang merangkumi pertanyaan dan aduan mengenai pelbagai perkara.

BNMLINK adalah pusat khidmat pelanggan yang menyediakan kemudahan secara langsung kepada orang ramai dan terletak di enam lokasi iaitu di ibu pejabat BNM, Kuala Lumpur, di Pejabat BNM Johor Bharu, Pejabat BNM Kuching, Pejabat BNM Kota Kinabalu, Pejabat BNM Pulau Pinang dan Pejabat BNM Kuala Terengganu.

BNMTELELINK pula berfungsi sebagai pusat perhubungan BNM dengan orang ramai yang lebih pantas tanpa perlu ke kaunter.

“Perjanjian perkhidmatan kami menetapkan semua panggilan mesti dijawab (tiada drop call) dan setiap panggilan ke BNMTELELINK wajib dijawab sebelum tamat tiga deringan sahaja.

“Selepas menerima aduan tersebut, BNM akan meminta bank berkenaan memberi maklum balas dalam tempoh dua minggu dan kami akan menasihatkan pihak bank supaya bertindak ke atas aduan tersebut.

“Terdapat kes-kes tertentu siasatan mendalam perlu dijalankan dan ini akan mengambil masa sedikit masa tetapi semua kes akan diselesaikan,” katanya lagi.

Orang ramai boleh menghubungi atau menghantar pertanyaan ke BNMTELELINK pada Isnin sehingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang di talian 1-300-88-5465 atau faks 03-217 41515 atau emel: [email protected], laman sesawang www.bnm.gov.my atau sms ke 15888.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/20/orang-rompak-bank-pun-boleh-bebas-ini-pula-muflis/

Runding dengan bank jika sukar bayar hutang – ABM