Dr. Dzulkefly Ahmad.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kesihatan Malaysia Tahun 2018 di Dewan Serbaguna, Kementerian Kesihatan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 12 MAC 2019.

PUTRAJAYA – “Malu kita kalau Vietnam dalam masa dua tahun akan datang mempunyai EMR”.

Itu reaksi Dr. Dzulkefly Ahmad dalam ucapan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Kementerian Kesihatan ketika menyentuh soal Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) yang dirancang Kementerian Kesihatan untuk dilaksanakan di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara kelak.

Kata Menteri Kesihatan itu, EMR telah dilaksanakan di Timur Tengah dan Turki.

“Saya malu kalau Vietnam dalam masa dua tahun lagi melaksanakan EMR, saya pergi Turki dia bukan sekadar sudah laksanakan EMR tapi lebih dari itu, HIMS (Hospital Information Management Systems) atau sistem pengurusan maklumat Hospital.

“Dengan tidak dinafikan kita juga mempunyai kehebatan (pengiktirafan) untuk melaksanakannya tapi hanya nak pastikan bahawa kita masih ada perjalanan jauh mengorak langkah ke arah melaksanakan EMR,” katanya.

Seramai 775 pegawai dan kakitangan kementerian itu menerima anugerah perkhidmatan cemerlang pada majlis yang diadakan pada pagi ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis, Dzulkfely yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, beliau tidak mahu mendedahkan maklumat mengenai EMR sehingga kertas kerja lengkap mengenai pelaksanaannya siap.

“Buat masa ini kita nak letakkan debaran dan EMR ini saya memang nak sangat adakan sesi khas untuk membentangkan kertas kerja EMR dalam setiap kes maut.

“Ayat runcit-runcit (remeh temeh) saya tidak mahu cakap sebab selalu disalahtafsir, saya tidak suka itu dan minta maaf.

“Tetapi saya berjanji apabila sudah bersedia (EMR) saya akan jemput anda semua dan membuat presentasi mengenainya secara lebih terperinci,” tambah beliau.

Dalam pada itu, ditanya mengenai Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI), katanya, kementerian itu merancang memperkenalkkan AI pada sektor penjagaan kesihatan.

Sejajar dengan itu katanya, Kementerian Kesihatan juga sedang berbincang dengan pakar-pakar teknologi AI untuk mencari kaedah mengoptimumkan rantaian bekalan perkhidmatan di fasilitinya.

“AI yang digunakan dalam program denggi terbukti keberkesanaan (di Pulau Pinang), juga akan digunakan dalam pelbagai hal khususnya mengenai pasti tempoh masa pesakit menunggu untuk khidmat kesihatan. AI tidak boleh tandingi kepintaran manusia dan ia sebenarnya paten yang kekal.

“Kita gunakan kepintaran manusia lalu dengan tidak menarik kepentingan AI contohnya masa menunggu rawatan dan berjumpa doktor serta pakar bermasalah tetapi saya sangat mengharapkan bahawa dari beberapa segi AI dapat membantu kita.

“Tetapi di akhir masa nanti kepintaran manusia juga tidak boleh dinafikan, tidak boleh digantikan sebab AI tidak rasional dan hanya mengenalpasti paten tanpa menyediakan sebab,” ujarnya sambil memberi jaminan ia akan diperincikan menerusi lapan versi yang akan disediakan dan dibentangkan kelak. – MalaysiaGazette